PM pertahan ketetapan Speaker

KUALA LUMPUR 11 Julai – Anwar Ibrahim mempertahankan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mengekalkan status enam bekas Ahli Parlimen Bersatu bersandarkan tafsiran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung akta anti lompat parti

Perdana Menteri berkata, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, perlu  membaca tafsiran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung akta anti lompat secara keseluruhan, dan bukan diambil sebahagiannya sahaja.

Katanya, ketetapan Johari itu adalah berlandaskan undang-undang yang memberi kuasa kepada Speaker memutuskan perkara demikian.

“Kalau tafsiran undang-undang kena baca seluruhnya, jangan pilih satu dan tinggal yang lain seperti mana dilakukan pimpinan Bersatu semalam. Ikut undang-undang, bukan soal Perdana Menteri, soal ketua pembangkang, dia ikut undang-undang dan tafsiran undang-undang itu serah kepada Speaker.

Saya tidak tahu kenapa dia baca sebahagian dan tinggal sebahagian, itu kaedah kerja politik Bersatu…macam BlackRock juga, (mereka) baca sebahagian dan tinggal sebahagian, tidak betul,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, kekal sebagai wakil rakyat.

Pada masa sama, Perdana Menteri, ketika berada dalam pembangkang, Pakatan Harapan (PH) sendiri yang mencadangkan supaya mana-mana ahli parti yang dipecat supaya digugurkan secara automatik sebagai ahli Parlimen.

“Kita berkeras mahu memasukkan bahagian bahawa kalau dipecat mesti gugur, namun ia ditentang Bersatu ketika itu. Sebab itu dimasukkan dalam terkecuali, jadi kena baca Perlembagaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, perbincangan berhubung perincian akta antilompat parti sebelum ini ada membabitkan wakil PH, Saifuddin Nasution Ismail dan Anthony Loke, selain  Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (kini Yang Dipertua Negeri Sarawak), serta wakil Perikatan Nasional (PN), Takiyuddin Hasan.

“Saya sendiri tidak terbabit dalam perbincangan itu, tetapi yang ada wakil kerajaan (ketika itu) Tun Wan Junaidi, Saifuddin Nasution, Takiyuddin, Loke pun ada.

“Jadi mereka tahu kita keras mahu masukkan (elemen) jika dipecat sekalipun mesti gugur terapi mereka menentang…rekodnya ada,” katanya.

Semalam, Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) pada sidang medianya, mempertikaikan tindakan Johari yang mengekalkan kedudukan enam bekas ahli Bersatu sebagai wakil rakyat.

Enam ahli Parlimen itu adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal,  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Keputusan itu bertentangan dengan tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri kosong berkuat kuasa pada 19 Jun lalu susulan penyandangnya sebelum ini, Mohd Azizi, dilucutkan keahlian daripada Bersatu.

Kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri selepas DUN Kelantan menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi pada 13 Jun lalu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment