WASHINGTON: Aktor George Clooney menggesa Presiden Joe Biden untuk berhenti dan menarik diri daripada bertanding bagi penggal kedua sebagai Presiden Amerika Syarikat dalam pilihan raya negara itu.
Pengumpul dana terbesar kempen politik parti Demokrat Amerika Syarikat (AS) muncul sebagai personaliti terbaharu yang menggesa Biden bersara.
Gesaan tersebut dikeluarkan aktor ternama Hollywood itu beberapa jam selepas pemimpin kanan Demokrat, Nancy Pelosi menyuarakan persoalan sama ada Biden perlu meneruskan keinginannya untuk bertanding bagi penggal kedua.
Menurut Clooney, Presiden Biden telah memenangi banyak pertempuran dalam kerjayanya, namun, “satu-satunya pertempuran yang tidak dapat dimenanginya ialah melawan masa.”
Kenyataan Clooney dibuat selepas Pelosi yang juga bekas Speaker Dewan menyertai kegelisahan yang semakin meningkat dalam parti, mengatakan bahawa masa “sudah terlalu singkat” untuk Biden memutuskan sama ada kekal dalam perlumbaan menentang Donald Trump selepas perdebatan yang disertainya membawa bencana.
Biden, bagaimanapun, berulang kali menyatakan pendiriannya untuk kekal sebagai calon parti Demokrat sekali gus mengalahkan lawannya, Trump pada pilihan raya yang akan berlangsung November depan.
Dalam artikel yang diterbitkan di The New York Times, Clooney menulis: “amat menyedihkan untuk mengatakan” Biden yang ditemuinya pada acara pengumpulan dana tiga minggu lalu bukanlah Joe Biden pada 2020.”
“Dia adalah lelaki yang sama yang kita semua saksikan pada perdebatan itu,” kata Clooney.
Acara pengumpulan dana, yang dihoskan bersama oleh Clooney di Los Angeles, AS berjaya mengumpul dana sekitar AS$30 juta (RM141 juta) untuk kempen Biden.
“Pemimpin parti perlu berhenti memberitahu kita semua bahawa 51 juta orang tidak melihat apa yang baru kami lihat. Ini mengenai umur. Tidak lebih daripada itu. Kita (Demokrat) tidak akan menang pada November dengan (calon) Presiden ini (Biden).” tulisnya.
Bahkan, tambah Clooney, kebimbangannya adalah sama dengan dengan “setiap” ahli Kongres yang ditemuinya.
Perbezaan pendapat orang ramai terus semakin terserlah dalam parti yang dipimpin Biden ketika beliau memberi tumpuan semasa menjadi tuan rumah sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington.
Pelosi yang juga antara pemimpin Demokrat paling berkuasa di Capitol Hill, pada Rabu turut mengabaikan pendirian tegas Biden yang nekad untuk meneruskan cabaran dalam pilihan raya Presiden.
Apabila ditanya sama ada Biden perlu kekal dalam perlumbaan pilihan raya, Pelosi dalam satu wawancara dengan MSNBC berkata: “Saya mahu beliau (Biden) melakukan apa sahaja yang dia memutuskan untuk lakukan.”
“Terpulang kepada Presiden untuk memutuskan sama ada beliau akan bertanding. Kami semua menggalakkan beliau membuat keputusan itu, kerana masa semakin suntuk.”
Sejumlah pemimpin Demokrat telah mencadangkan Biden meninggalkan kempennya sejak debatnya pada 27 Jun lalu dengan Trump mengundang kritikan pedas.
