“Bahagian mana saya tak baca?”

KUALA LUMPUR 11 Julai – “Saya faham betul peruntukan perlembagaan ini. Yang tak faham ialah Anwar,” begitu reaksi Muhyiddin Yassin terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung status enam bekas wakil rakyat Bersatu.

Presiden Bersatu itu juga bertanya Perdana Menteri bahagian mana yang beliau didakwa tidak baca berhubung perlembagaan itu.

“Anwar kata saya baca sebahagian saja daripada Perlembagaan. Saya nak tanya Anwar bahagian mana yang saya tak baca tu?

“Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan mana-mana Ahli Parlimen yang terhenti menjadi ahli partinya maka kerusinya di Dewan Rakyat hendaklah dikosongkan,” katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri meminta Muhyiddin membaca tafsiran undang-undang dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung akta antilompat secara keseluruhan dan bukan diambil sebahagiannya sahaja.

Ia susulan tindakan Muhyiddin semalam yang mendakwa alasan dikemukakan Johari berhubung pengekalan enam bekas ahli Bersatu itu sebagai wakil rakyat, adalah dangkal dan tafsiran dibuat songsang sekali gus mencemar Perlembagaan Persekutuan.

Muhyiddin berkata, selaras dengan peruntukan ini, Bersatu membuat pindaan perlembagaan parti untuk memasukkan keadaan di mana wakil rakyat Bersatu terhenti keahliannya serta merta apabila gagal mematuhi arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Katanya, antara arahan bertulis yang diberikan kepada mereka ialah supaya menarik balik sokongan yang diberikan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri kerana itu bercanggah dengan dasar parti dan mandat rakyat yang memilih mereka.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, jika mereka menarik balik sokongan dan kembali ke pangkal jalan dalam tempoh yang ditetapkan dalam arahan tersebut, maka mereka kekal sebagai ahli parti dan kekal sebagai ahli Parlimen.

“Itulah semangat yang tersurat dan tersirat dalam Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.

Masalahnya mereka dengan sengaja tidak mematuhi arahan parti dengan berterusan menyokong pihak parti lawan. Maka terhentilah keahlian mereka dalam Bersatu secara serta-merta mengikut peruntukan Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu dan berlakulah kekosongan kerusi mereka di Dewan Rakyat menurut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Enam Ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada Bersatu adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang),  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Nnn

Related posts

Leave a Comment