BERSIH dakwa Johari Abdul terkhilaf

KUALA LUMPUR 11 Julai – Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) menyifatkan Yang Dipertua Dewan Rakyat,  Johari Abdul terkhilaf memahami mekanisme, prinsip dan hasrat akta antilompat parti apabila mengekalkan kerusi disandang enam bekas Ahli Parlimen Bersatu.

Justeru, situasi ini akan menimbulkan polemik mengenai keberkesanan akta ini terhadap matlamat asal demi menjamin kestabilan politik negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, BERSIH mendakwa Johari mensia-siakan peluang untuk menguatkuasa dan memperkasa Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) berkait larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti, yang buat kali pertama diuji dalam sejarah politik negara.

Malah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu melihat keputusan berkenaan membuka kelompangan undang-undang dan dikhuatiri menghapuskan keyakinan rakyat terhadap keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang yang menjadi prinsip Rukun Negara.

Enam Ahli Dewan Rakyat itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal;  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar),  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan);  Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Menurut BERSIH, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan menggariskan tiga sebab terhentinya seseorang Ahli Dewan Rakyat, iaitu apabila seseorang Ahli Dewan Rakyat itu menukar parti, melepaskan keanggotaan parti dan beliau tidak lagi menjadi anggota parti tersebut.

Apa yang berlaku kepada sekurang-kurangnya empat daripada enam MP Bersatu (Bukit Gantang, Kuala Kangsar, Labuan dan Tanjong Karang) adalah mereka telah digugurkan keahlian kerana gagal menuruti arahan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk tidak menyokong Perdana Menteri.

Bersatu telah meminda perlembagaan parti mereka yang menetapkan bahawa mana-mana ahli Bersatu yang menjadi wakil rakyat di Dewan Rakyat atau DUN yang tidak mematuhi arahan Majlis Pimpinan Tertinggi akan terhenti keahlian mereka secara serta-merta.

BERSIH menjelaskan, Bersatu turut meminda perlembagaan parti yang menetapkan bahawa mana-mana ahlinya yang menjadi wakil di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mematuhi arahan MPT akan terhenti keahlian secara serta-merta.

Menurut NGO itu, slaid infografik Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengenai mekanisme Akta Anti Lompat Parti turut menerangkan implikasi akibat tidak mematuhi keputusan parti.

“Dalam satu slaid, ia memberi contoh situasi di mana sekiranya ada tindakan tidak mengikut keputusan parti berdasarkan perlembagaan (parti), maka ahli dianggap sudah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka,” menurut kenyataan berkenaan.

Tegasnya, Johari sepatutnya menghormati perlembagaan Bersatu atau mana-mana parti politik, khususnya dalam menyelaraskan penguatkuasaan akta berkenaan.

BERSIH berpandangan, pindaan perlembagaan Bersatu yang memasukkan peruntukan terhenti keahlian sekiranya gagal menuruti arahan parti adalah sama dengan pindaan perlembagaan yang pernah dibuat parti lain, antaranya DAP, Amanah dan UMNO.

“Justeru, BERSIH berpandangan Yang Dipertua Dewan Rakyat mensia-siakan peluang untuk menguatkuasakan serta memperkasakan akta yang didukung dua pertiga anggota Dewan Rakyat apabila ia kali pertama diuji dalam sejarah politik negara.

“Keputusan ini juga akan terus menajamkan perbezaan di antara kerajaan dan pembangkang, menyukarkan kerjasama profesional untuk melakukan reformasi, serta membebaskan Parlimen dari keterikatan dengan badan eksekutif.

“Ia sekali gus memperkukuh persepsi bahawa kerajaan hanya berminat untuk mengekalkan kekuasaan berbanding melaksanakan perkara yang betul,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment