Ahli Parlimen PN pakai lilitan putih

KUALA LUMPUR 11 Julai – Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan memakai lilitan putih di lengan pada sidang Dewan Rakyat minggu depan sebagai protes terhadap keputusan Speaker Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam bekas wakil rakyat Bersatu.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya sangat kecewa dan berduka dengan keputusan dibuat Johari dan menyifatkan keputusan tidak mengisytiharkan kekosongan kerusi terbabit sebagai black decision.

“Kami mulai minggu depan, semua Ahli Parlimen PN akan pakai lilitan putih di lengan sebagai tanda protes, kecewa dan dukacita.

Ini adalah ‘black decision’ yang boleh menjahanamkan sistem dan negara kita. Saya pinjam perkataan yang dipopularkan oleh Tan Sri Speaker pada 27 Julai 2022 sebagai Ahli Parlimen Sungai Petani pada masa itu,” katanya pada sidang media di Parlimen.

Hampir semua Ahli Parlimen PN keluar Dewan kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Speaker tanpa mendengar penjelasan Johari berhubung keputusan itu.

Johari menerusi surat kepada Bersatu bertarikh 9 Julai memaklumkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.

Enam Ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada Bersatu adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang),  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Nnn

Related posts

Leave a Comment