ADUN Selat Klang kekal, PN anggap bersifat kepartian

SHAH ALAM 11 Julai – Keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Lau Weng San, memutuskan kerusi DUN Selat Klang tidak perlu dikosongkan adalah bersifat kepartian, bukannya bersandarkan kepada Perlembagaan dan undang-undang.

Ketua Pembangkang DUN Selangor, Mohamed Azmin Ali yang menyatakan rasa kecewa dan kesal juga menyifatkan keputusan itu seperti yang dijangkakan pihaknya

“Saya dan ADUN-ADUN PN Selangor amat kecewa dan kesal dengan keputusan yang dibuat Speaker yang tidak merujuk kepada Perlembagaan dan undang-undang.

“Kami tidak dibenarkan sebarang pertanyaan ataupun perbahasan, ini satu sikap yang tidak profesional. Beliau (Speaker) tangguhkan Sidang DUN Selangor hari ini dan keputusannya dibuat pada hujung sesi. Bila hendak tangguh, baru buat keputusan.

Ini bukan sikap beretika sebagai seorang Speaker. Sepatutnya jika Speaker berani membuat keputusan, beliau juga harus berani mendengar dan mempertahankan keputusan berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas penangguhan Sidang DUN Selangor di lobi Wisma DUN Selangor, di sini hari ini.

Susulan itu, Azmin berkata, pihaknya akan meneliti keputusan Speaker itu dan akan mengambil langkah seterusnya kerana ini krisis perlembagaan yang tidak boleh dibiarkan berlarutan.

“Kita akan merujuk kepada peguam yang sudah bersedia untuk mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Terdahulu, sebelum menangguhkan Sidang DUN Selangor, Weng San mengumumkan tiada kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Selat Klang yang diwakili Abdul Rashid Asari.

Beliau menyifatkan pemberhentian keahlian ADUN Selat Kelang dalam Bersatu didapati sebagai satu pemecatan terancang (constructive expulsion) di bawah operasi Perkara LXVA 2(c) Perlembagaan Negeri Selangor.

Dalam pada itu, Azmin berkata, pihaknya juga kecewa dengan keputusan kerajaan negeri menamatkan Sidang DUN Selangor, tujuh hari lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

“Sedangkan proklamasi yang dititahkan Sultan Selangor yang dibacakan oleh Setiausaha Dewan pada 4 Julai lalu. Dalam proklamasi itu, ada tarikh-tarikh khusus yang diputuskan dan dititahkan oleh Tuanku supaya ADUN Selangor bersidang dan bermesyuarat pada tarikh 4 Julai – 5 Julai; 9 Julai – 12 Julai dan 15 Julai – 18 Julai.

“Kami sebagai ADUN PN Selangor mempunyai mandat cukup besar untuk membawa suara rakyat untuk dibincangkan dan dibahaskan dalam Sidang DUN Selangor, malangnya kerajaan negeri menetapkan ini hari terakhir,” katanya.

Beliau berkata, akibatnya banyak soalan yang dikemukakan tidak terjawab, kerana ADUN PN Selangor mengemukakan 420 soalan kepada kerajaan negeri kerana mengikut peraturan tetap, setiap ADUN boleh mengemukakan 10 soalan bertulis dan 10 soalan lisan.

“Setiap ADUN PN Selangor mengemukakan 10 soalan bertulis, 10 soalan lisan mengikut tempoh yang ditetapkan dan ini membuktikan komitmen kami membawa suara rakyat (kawasan yang diwakili).

“Malangnya sehingga ke hari ini, daripada 210 soalan lisan dan 210 soalan bertulis yang dikemukakan, hanya 27 soalan lisan dijawab kerajaan negeri.

“Sebab itu kita mendesak kerajaan negeri meneruskan sehingga tarikh ditetapkan iaitu 18 Julai supaya persoalan-persoalan kami dijawab. Jawapan ini penting untuk kami sampaikan kepada rakyat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment