Kaji 10,000 pelajar tidak duduki SPM

PULAU PINANG – Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG) menggesa  Kementerian Pendidikan Tinggi (KPTM) dan Kementerian Pendidikan (KPM) membuat kajian menyeluruh mengenai sebab-sebab lebih 10,000 pelajar tidak hadir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lepas.

Presiden PEMENANG Mohd Yussof Latiff berkata, KPTM dan KPM diwajibkan memandang berat dan serius isu pelajar yang majoritinya Melayu /Bumiputera tidak menduduki peperiksaan kerana ianya akan memberi impak terhadap pembangunan modal insan negara dalam beberapa tahun akan datang.

“Satu kajian menyeluruh hendaklah dilakukan bagi mengenal pasti sebab musababnya dan merumuskan kaedah-kaedah mengatasi masalah ini kerana jika dibiarkan berterusan ia akan menjejaskan pembangunan modal insan negara dalam masa beberapa tahun ke hadapan” kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, KPTM dan KPM perlu menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh tenaga pakar dan professional dalam pendidikan yang didapati ramai dalam negara ini supaya kajian meyeluruh dan data terpeinci dapat dirancang dan dilaksanakan demi masa depan negara.

Beliau berkata, dalam usaha kerajaan sedang membuka peluang kepada semua kaum untuk memasuki institusi pendidikan yang dikhususkan kepada Bumiputera, kerajaan juga harus melihat dengan lebih serius dilema dan keciciran pelajar Melayu /Bumiputera di peringkat sekolah menengah.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dipetik sebagai berkata seramai 10,160 daripada 383,685 orang calon SPM 2023 tidak hadir peperiksaan itu dan lebih 30 ribu pelajar secara purata setahun yang ramainya pelajar Melayu /Bumiputera tidak mendaftar untuk menduduki SPM.

Mohd Yussof berkata, peruntukan khas bagi memberi peluang kepada Melayu/ Bumiputera memasuki mana-mana institusi pendidikan tidak akan bermakna jika ramai anak Melayu/ Bumiputera sendiri tercicir dalam pendidikan diperingkat SPM.     

Dalam masa yang sama, PEMENANG meminta mana-mana pihak agar tidak menganggu gugat Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sememangnya dikhususkan untuk kaum Bumiputera dan termaktub dalam Perlembagaan Negara.

PEMENANG berpendirian tegas dalam isu ini kerana matlamat penubuhan UiTM yang dahulunya dikenali sebagai Institut Teknologi Mara atau ITM adalah bagi melahirkan golongan separa professional dan professional dari kaum Melayu/ Bumiputera dengan melahirkan graduan diperingkat sijil, diploma dan ijazah.

“Ini adalah dasar kerajaan yang bersesuaian yang termaktup Perlembagaan Negara yang memberi keistimewaan kepada golongan Melayu/ Bumiputera dalam bidang pendidikan supaya anak-anak Melayu/ Bumiputera manakala golongan bukan Melayu/ Bumiputera bebas memasuki mana-mana institusi pendidikan yang lain,” kata beliau.

Beliau berkata, UiTM ini adalah milik mutlak Melayu/ Bumiputera dan mesti dikekalkan sebagai milik Melayu/ Bumiputera selamanya dan tiada mana-mana pihak berhak mempertikaikannya demi kemaslahatan negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment