SINGAPURA: Agensi Makanan Singapura (SFA) membenarkan import serangga dan produk serangga untuk makanan manusia seperti cengkerik, belalang juta, belalang, “mealworm”, ulat sutera, dan lebah madu.
Menurut satu pekeliling kepada peniaga, SFA meluluskan 16 spesies serangga yang berasal yang boleh digunakan sebagai makanan manusia atau sebagai makanan haiwan untuk haiwan pengeluaran makanan
Sementara itu, rangka kerja peraturan serangga yang dimuat naik di laman sesawangnya pada hari yang sama, meletakkan garis panduan untuk serangga yang diluluskan sebagai makanan di Singapura.
Rangka kerja itu merangkumi garis panduan yang harus dipatuhi oleh perniagaan jika mereka berhasrat untuk mengimport, menternak atau memproses serangga menjadi makanan manusia atau makanan haiwan.
SFA berkata serangga dalam senarai berkenaan mempunyai sejarah sebagai makanan manusia manakala serangga lain yang tidak tersenarai perlu menjalani penilaian oleh agensi itu sebelum boleh dijadikan sebagai makanan manusia.
Garis panduan ini dibangunkan selepas kajian saintifik menyeluruh dengan merujuk kepada negara dan wilayah yang membenarkan penggunaan serangga tertentu sebagai makanan termasuk Kesatuan Eropah, Australia, New Zealand, Korea Selatan dan Thailand.
Syarikat yang menjual makanan prabungkus, termasuk yang mengandungi serangga sebagai ramuan, dikehendaki melabel pembungkusan produk untuk menunjukkan sifat sebenar produk itu.
SFA juga menegaskan, produk serangga tertakluk kepada pemeriksaan dan pengawasan SFA, termasuk pensampelan untuk ujian keselamatan makanan.
Nnnn
