Abang Abidin ikrar suara masalah rakyat

NIBONG TEBAL – Naib Yang Dipertua Pas Nibong Tebal Abidin Ismail yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap hari ini berikrar untuk terus memperjuangkan suara rakyat di kawasan itu.

Calon Perikatan Nasional (PN) itu, berkata keutamaan beliau pada ketika ini ialah membantu menyelesaikan masalah air yang berlarutan sejak enam tahun lalu di Mukim Lima, Sungai Bakap.

Manakala calon Pakatan Harapan (PH), Dr Joohari Ariffin menghormati isyarat yang dizahirkan pengundi kawasan itu, menerima kekalahannya secara berlapang dada.

Bekas Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Utara itu, percaya pengundi membuat keputusan yang betul selepas menilai daripada semua sudut dan keputusan itu adalah isyarat rakyat bahawa ini adalah pilihan mereka.

Kedua-dua calon itu memberi reaksi demikian selepas keputusan PRK malam tadi menyaksikan PN menang dengan majoriti 4,267 undi, selepas Abang Abidin memperoleh 14,489 undi menewaskan Joohari yang meraih 10,222 undi.

Sementara itu Abang Abidin berkata,  isu air di Mukim 5 antara perkara yang akan  diberi perhatian dengan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan bagi menangani masalah ini.

Abidin menyifatkan kemenangannya dengan majoriti lebih besar memberi isyarat dan juga tanda ‘protes’ rakyat kepada kerajaan yang dianggap menekan mereka.

Terdahulu, beliau berterima kasih dan menghargai sokongan penuh jentera parti komponen daripada Bersatu dan Gerakan pada peringkat nasional dan negeri yang turun padang membantu bagi memastikan kemenangan PN.

“Alhamdulillah terima kasih, Allah SWT bagi kemenangan kepada PN dengan adanya bantuan sahabat-sahabat jentera PN seluruh Malaysia, kita menang majoriti yang tinggi dari Pilihan Raya Negeri yang lalu.

“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pimpinan PN yang memberi kepercayaan kepada saya sebagai calon,” katanya.

Dr Joohari pula menerima keputusan PRK itu dengan  berlapang dada dan percaya rakyat cerdik dalam membuat keputusan serta  menilai dari semua sudut sebelum membuat keputusan.

“Pada saya, pilihan raya kali ini adalah yang terbaik dilaksanakan dari pihak kita PH dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment