LONDON: Keputusan pilihan raya umum (PRU) United Kingdom (UK) menyaksikan rekod baharu jumlah Ahli Parlimen (MP) wanita yang akan duduk di Dewan Rakyat.
Setakat 7.30 pagi (0630 GMT) semalam, seramai 261 MP wanita telah dipilih – mewakili 40 peratus daripada Dewan Rakyat – dan mungkin meningkat apabila pengiraan undi diteruskan di seluruh UK.
Bilangan MP wanita telah meningkat pada setiap enam pilihan raya lepas dan angka terbaharu melepasi rekod sebelumnya iaitu 220 MP wanita dalam pilihan raya 2019.
Nancy Astor menjadi MP wanita pertama yang duduk di parlimen Britain apabila beliau dipilih pada tahun 1919 selepas memenangi kerusi Plymouth Sutton dalam pilihan raya kecil.
Beliau meletak jawatan pada tahun 1945 dan meninggal dunia pada tahun 1964 pada usia 84 tahun.
