WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden ‘tidak akan ke mana-mana’ walau didesak ramai anggota parti Demokrat supaya tidak bertanding dalam pemilihan presiden AS November ini.
Penampilan calon Demokrat berusia 81 tahun itu pada 27 Jun lalu yang kelihatan goyah untuk bersaing dengan calon Republikan, Donald Trump, bermakna setiap penampilannya kini diteliti.
Biden memberi alasan, ‘selesema yang sangat teruk’ menjejaskan prestasinya pada perdebatan dengan Trump minggu lalu, selain keletihan selepas dua perjalanan ke Eropah.
Dalam satu wawancara bersama ABC, Biden berkata, beliau keletihan, tidak mengikuti naluri saya dari segi persediaan serta menyifatkannya malam yang buruk.
Ramai pengundi Demokrat kini bimbang sama ada Biden boleh meneruskan tugas yang amat mencabar untuk empat setengah tahun akan datang, malah beberapa anggota dalam partinya menggesa beliau supaya menarik diri.
Biden menganjurkan perayaan tahunan Hari Kemerdekaan AS di Rumah Putih pada 4 Julai, termasuk barbeku untuk beberapa ribu anggota perkhidmatan tentera yang aktif dan keluarga mereka.
Beliau memulakan ucapan dengan suara yang tegas, mengucapkan, ‘Selamat Hari Kemerdekaan!’ serta begitu teliti membaca ucapan supaya tidak membuat kesilapan besar dalam menyampaikan ucapan ringkas.
Namun, ada satu ketika, beliau kelihatan tidak mengikut skrip apabila merujuk kepada tanah perkuburan perang yang enggan dikunjungi Trump semasa memegang jawatan presiden AS.
“Oleh itu, anda tahu, saya berada di tanah perkuburan Perang Dunia I di Perancis, yang salah seorang daripada rakan sekerja kita, bekas presiden, enggan pergi…” katanya secara sinis sambil menurunkan suara.
Semasa bersembang sambil bergambar dengan para tamu, salah seorang yang hadir berteriak menyuruh Biden ‘teruskan perjuangan’.
“Anda faham saya. Saya tidak akan ke mana-mana,” kata Biden, mengulangi ikrarnya untuk kekal bersaing walaupun desakan semakin meningkat memintanya berundur.
Sementara itu, Biden memberitahu pemberita kemudian bahawa dia telah bercakap dengan sekurang-kurangnya 20 penggubal undang-undang dan mereka memberitahunya untuk kekal.
Sebaliknya. beberapa sekutu politik terdekat Biden, termasuk bekas Speaker, Nancy Pelosi, menimbulkan persoalan tentang kesihatannya.
