PUTRAJAYA 4 Julai – Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang diumumkan hari ini turut mengesan penyalahgunaan dana dalam Majlis Profesor Negara (MPN), apabila didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516.
Malah, ia mewujudkan konflik kepentingan apabila dua ahli Lembaga Pemegang Amanah (LPA) tidak mengisytiharkan kepentingannya sebagai pemilik saham kepada dua syarikat terbabit, selaras Akta 777 (Akta Syarikat 2016).
MPN sebagai sebuah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) dikawal selia Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Menurut laporan itu, pembayaran elaun tetap Pengerusi dan Timbalan Pengerusi berjumlah RM207,000 dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.
Pembayaran juga dibuat tanpa kelulusan LPA iaitu membabitkan ‘Honorarium’ felo penyelidik berjumlah RM399,000; pemasangan lif dan pengubahsuaian pejabat (RM82,500); penyelarasan gaji pengurusan tertinggi (RM62,500) serta pembayaran elaun tetap Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (RM66,000).
LKAN turut menemui pengurusan geran yang tidak cekap membabitkan pengiktirafan geran tertunda sebagai hasil berjumlah RM2.43 juta tanpa dokumen sokongan, sebanyak RM0.92 juta dibelanjakan tidak mengikut tujuan geran diluluskan serta sejumlah RM475,000 peruntukan tidak digunakan.
Pembayaran kad kredit korporat berjumlah RM98,076 dan wang pendahuluan berjumlah RM20,000 turut dibuat tanpa dokumen sokongan.
Seksyen 212 yang dibaca bersama Jadual Ketiga perenggan 24 Akta 777 menetapkan saraan, gaji dan komisen Pengarah Urusan tertakluk kepada terma yang ditentukan Lembaga Pengarah.
Manual Skim Perkhidmatan MPN yang diluluskan pada 26 Julai 2022 menetapkan skala gaji bagi jawatan kumpulan pengurusan tertinggi ditentukan oleh ahli LPA.
Semakan Audit mendapati penetapan kadar kenaikan gaji tahunan pengurusan tertinggi tidak diluluskan oleh ahli LPA dan jadual penyelarasan gaji tahun 2022 serta 2023 hanya diluluskan oleh Presiden/KPE dan diperakui Pengerusi MPN.
Penyelarasan gaji ini melibatkan kenaikan gaji tahunan sebanyak 10% daripada gaji pokok pengurusan tertinggi.
Sejumlah RM62,500 telah dibayar bagi tempoh April 2022 hingga Januari 2024 tanpa kelulusan LPA kepada Presiden/KPE dan Ketua Pegawai Operasi masing-masing berjumlah RM46,000 dan RM16,500.
Justeru, LKAN mengesyorkan supaya JPM perlu mengkaji semula status MPN sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan dan status MPN perlu diputuskan sebelum dipertimbangkan sama ada penyaluran peruntukan geran wajar diteruskan atau sebaliknya.
Sekiranya MPN kekal sebagai syarikat di bawah seliaan kerajaan, MPN perlu membuat pindaan terhadap Artikel Pertubuhan dengan memasukkan wakil kerajaan dalam LPA untuk memantau operasi dan kewangan MPN.
JPM perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan MPN bagi ketakteraturan yang dikenal pasti dengan merujuk kepada agensi penguatkuasaan berkaitan dan pengurusan MPN perlu dirombak secara menyeluruh.
Berdasarkan fakta audit yang dikemukakan dalam LKAN, MPN tidak pernah diaudit oleh Jabatan Audit Negara sejak diperbadankan pada tahun 2014.
MPN menerima geran mengurus daripada kerajaan berjumlah RM35.84 juta bagi tempoh tahun 2015 hingga 2018 serta 2022 dan 2023.
Nnnn
