SINGAPURA: Singapura secara prinsip bersedia mengiktiraf negara Palestin pada masa yang sesuai dengan pertimbangan utama langkah itu harus membantu kemajuan ke arah keamanan dan penyelesaian dua negara Israel dengan Palestin.
Menteri Hal Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan memberitahu Parlimen, perlu ada Kerajaan Palestin yang berkesan yang menerima hak Israel untuk wujud dan menolak keganasan secara tegas.
“Kami menggesa kedua-dua pihak untuk mengambil langkah ke arah keamanan berkekalan dan menamatkan penderitaan yang telah berlangsung terlalu lama,” katanya kepada Parlimen, semalam
Pada 10 Mei lalu, Singapura mengundi menyokong resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang menyatakan sokongan kepada keanggotaan Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Balakrishnan berkata, Singapura membuat undian itu selepas melakukan pertimbangan teliti.
Katanya, ia dengan harapan bahawa Palestin dan Israel akan menyambung semula rundingan langsung ke arah penyelesaian dua negara ketika prospek berkenaan dilihat semakin suram.
Sementara itu, beliau berkata, tahap sokongan Singapura kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) tidak tertakluk kepada aspek sama ada terdapat pengiktirafan rasmi terhadap negara berkenaan.
“Singapura akan terus berhubung dengan PA dan melaksanakan pakej bantuan teknikal bernilai S$10 juta bagi membantu PA membina kapasiti serta bersedia untuk kenegaraan,” katanya.
Sehingga kini, Singapura melatih lebih 750 pegawai Palestin dalam pelbagai bidang, termasuk diplomasi, pengurusan ekonomi dan perancangan bandar di samping biasiswa untuk pegawai Palestin melanjutkan pengajian pascasiswazah di universiti Singapura.
