Bangladesh tidak lagi terima pelarian Rohingya

DHAKA: Pelarian Rohingya dari Myanmar tidak lagi dibenarkan memasuki Bangladesh susulan jumlah besar pelarian yang sedia ada kini mengancam keselamatan negara itu sendiri.

Menteri Pengangkutan Jalan dan Jambatan, Obaidul Quader, berkata, pelarian Rohingya kini menjadi beban lebih-lebih lagi bantuan antarabangsa juga sudah dikurangkan dengan ketara.

Etnik Islam Rohingya yang menghadapi penganiayaan di Myanmar selama beberapa dekad mendorong hampir sejuta pelarian berlindung di Bangladesh.

Mereka tinggal di kem yang sesak di daerah sempadan Bangladesh, Cox’s Bazar, kem pelarian terbesar di dunia yang kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera pada 2017.

Pemerintah tentera Myanmar melihat Rohingya sebagai penceroboh asing dan menafikan mereka kewarganegaraan, menyebabkan Bangladesh tidak boleh menghantar mereka pulang melalui sempadan ke Rakhine.

Sementara itu, pesuruhjaya bantuan dan penghantaran pulang pelarian Bangladesh yang berpangkalan di Cox’s Bazar, Mohammad Mizanur Rahman berkata, keputusan itu tidak dapat dielakkan.

Menurut beliau pada ketika ini, beberapa ratus pelarian, kebanyakannya daripada kumpulan etnik Chakma, berkumpul di sempadan Myanmar untuk memasuki Bangladesh ketika pertempuran antara pasukan pemberontak Myanmar dan rejim junta Myanmar.

“Sudah tujuh tahun mereka di sana dan kini kami tidak dapat menghantar mereka pulang. Bangladesh terpaksa menggalas beban yang besar.

“Tindakan terus membenarkan etnik Rohingya ini berada di Bangladesh kini mengancam undang-undang, keselamatan dan ketenteraman negara kami sendiri kerana jenayah rentas sempadan kini lebih kerap berlaku,” katanya.

Beliau juga menggesa pertubuhan kemanusiaan seperti Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk memberikan bantuan makanan dan perubatan kepada mereka yang terperangkap dalam konflik di Myanmar.

Langkah itu bagi memastikan orang ramai tidak perlu menyeberangi sempadan dan masuk ke Bangladesh dan akan mengurangkan tekanan kepada negara itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment