14 kes baharu, import Singapura

SINGAPURA 19 Feb. – Singapura melaporkan 14 kes baharu Covid-19 sehingga tengah hari Ini yang kesemuanya kes import dan dikenakan notis jangan keluar rumah atau diasingkan sebaik mereka tiba di sini.

Menurut Kementerian Kesihatan (MoH), kes-kes baharu itu termasuk seorang penduduk tetap yang pulang dari Indonesia dan tiga pemegang pas tanggungan yang tiba dari India dan Indonesia.

Empat kes lain adalah pemegang pas kerja dari India, Nepal dan Emiriyah Arab Bersatu .

Kes-kes baharu itu juga termasuk tiga pemegang permit kerja yang tiba dari Indonesia dan Malaysia, termasuk seorang pembantu rumah asing.

Tiga kes selebihnya adalah para pemegang pas khas yang merupakan anak-anak kapal, dan tiba dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu. Mereka tidak turun dari kapal dan diuji di atas kapal.

Sementara itu, 18 lagi kes Covid-19 sembuh dan dibenarkan pulang dari hospital atau kemudahan pengasingan masyarakat, menjadikan jumlah yang pulih  seramai 59,697.

Terdapat 20 pesakit Covidw-19 yang masih berada di hospital, yang kebanyakannya stabil atau bertambah baik. Seorang berada dalam keadaan kritikal di unit jagaan rapi.

Seramai 100 kes lain diasingkan dan dirawat di kemudahan masyarakat, terdiri daripada mereka yang mengalami gejala ringan atau sihat secara klinikal tetapi masih positif Covid-19.

Sehingga Jumaat, Singapura melaporkan sebanyak 59,846 kes COVID-19. 

Related posts

Leave a Comment