PUTRAJAYA 24 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) menjemput orang ramai menyumbang cadangan bagi menghasilkan pelan pembangunan pendidikan baharu bagi menggantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.
Dalam kenyataannya, KPM memaklumkan pelan pendidikan yang ada sekarang sudah hampir sampai ke penghujung pelaksanaannya.
“Selaras dengan konsep whole of society approach, KPM mengalu-alukan cadangan daripada pelbagai pihak dalam bentuk memorandum atau kertas cadangan untuk membantu menghasilkan pelan pendidikan masa depan yang komprehensif dan holistik,” menurut KPM dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi tujuan itu, KPM memaklumkan portal cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036 telah dibangunkan bertujuan memudahkan pengumpulan maklumat, cadangan dan idea daripada seluruh masyarakat berkaitan hala tuju pendidikan negara.
Portal Cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036 boleh diakses melalui pautanhttps://www.moe.gov.my/pelanpendidikan2026/public.
Cadangan boleh dikemukakan sehingga 31 Disember ini.
