1,301 kematian musim haji tahun ini

MAKKAH 24 Jun – Kerajaan Arab Saudi memaklumkan, lebih 1,300 jemaah meninggal dunia semasa mengerjakan ibadah itu pada tahun ini – dengan “banyak kes” akibat suhu panas melampau dan perjalanan “tidak dibenarkan”.

Dalam satu kenyataan, daripada jumlah itu,  83 peratus mereka yang meninggal dunia “tidak dibenarkan menunaikan haji” dan “berjalan jauh di bawah cahaya matahari langsung, tanpa tempat tinggal atau keselesaan yang mencukupi.

“Sistem kesihatan menangani banyak kes suhu panas melampau tahun ini, dengan beberapa individu masih dalam penjagaan. Malangnya, jumlah kematian mencecah 1,301,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat beberapa orang tua dan pesakit kronik dalam kalangan mangsa yang meninggal dunia.

Cuaca panas melampau disebut sebagai faktor utama di sebalik ratusan kematian dan kecederaan yang dilaporkan tahun ini semasa menunaikan haji.

Makkah yang menjadi pusat bagi jemaah haji, menyaksikan suhu meningkat kepada 51.8 darjah selsius yang mencatat rekod pada Isnin 17 Jun.

Pelbagai pihak berkuasa juga berkata masalah itu ditambah lagi dengan jumlah ziarah tidak rasmi.

Arab Saudi mewajibkan setiap jemaah haji memperoleh permit khas untuk mengakses Mekah secara sah dengan kos beberapa ribu dolar AS.

Jemaah haji yang tidak mempunyai permit biasanya tidak melakukan perjalanan dalam bas pelancongan yang teratur dengan penghawa dingin atau akses mudah kepada bekalan air dan makanan.

Kerajaan Saudi turut menyenaraikan kemasukan secara tidak sah jemaah menjadi faktor kenapa masa terlalu lama diambil untuk mengeluarkan angka kematian rasmi kerana ini telah merumitkan proses pengecaman.

“Proses mengenal pasti mangsa selesai walaupun kekurangan maklumat peribadi atau dokumen pengenalan. Proses yang betul diikuti untuk pengecaman, pengebumian dan penghormatan ke atas si mati dengan sijil kematian disediakan,” kata kenyataan itu lagi.

(Foto Haramain)

Nnn

Related posts

Leave a Comment