Premis proses muruku diserbu

JABATAN Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu premis memproses muruku – guna label jenama wanita Islam – di Kajang semalam selepas dikesan menggunakan logo halal tidak sah pada bungkusan produk makanan ringan berkenaan.

Serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu adalah hasil aduan orang ramai dan dilakukan bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Kajang dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Langat.

Semakan menerusi sistem MYe-Halal Malaysia mendapati premis tersebut bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah dan logo halal digunakan pada bungkusan produk muruku itu juga tidak sah.

Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad berkata hasil siasatan turut mendapati produk makanan ringan itu dijual secara meluas di pasar raya berhampiran  premis berkenaan, kedai serbaneka 24 jam, kedai-kedai runcit di sekitar Hulu Langat, Cheras serta di platform e-dagang.

Katanya, label jenama nama wanita Islam digunakan sebagai strategi bagi mengelirukan umat Islam bahawa muruku itu adalah keluaran produk Muslim yang boleh dimakan tanpa was-was.

JAIS merampas 138 kotak makanan ringan berkenaan dan 960 kotak  bertanda logo halal tidak sah bernilai RM14,819.00.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati pemilik premis menggajikan sembilan pekerja namun hanya dua sahaja rakyat tempatan manakala selebihnya merupakan pekerja asing dan disyaki tidak mempunyai dokumen atau permit kerja yang sah.

Mohd Shahzihan berkata pemeriksaan ke atas premis itu juga menunjukkan ia berada dalam keadaan sangat kotor terutamanya di kawasan pemprosesan makanan ringan berkenaan.

“PKD Hulu Langat juga mengambil tindakan terhadap premis itu mengikut Peraturan Kebersihan Makanan 2009 11(1)b kerana gagal menyediakan rekod latihan pengendali makanan dan Peraturan 7(1) ekoran tidak memperbaharui perakuan pendaftaran premis serta arahan penutupan premis dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya.

Related posts

Leave a Comment