JOHOR BAHRU 22 Jun – Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, perlu mengosongkan enam kerusi Ahli Parlimen Bersatu, susulan notis dikemukakan serta bagi menghormati Perlembagaan Persekutuan yang dipinda mengikut Akta Anti Lompat Parti, yang juga diluluskan oleh Ahli Dewan berkenaan..
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, berkata, menjadi tugas Speaker untuk menghormati Perkara 49 A(1) Perlembagaan Persekutuan membabitkan Akta Anti Lompat Parti.
Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan antara lain menjelaskan seseorang Ahli Dewan hendaklah terhenti dan kerusinya hendaklah menjadi kosong sebaik saja suatu tarikh kekosongan luar jangka dipastikan oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
Kata, Speaker juga perlu menghormati parti-parti politik berdaftar serta sah yang meminda Perlembagaan parti masing-masing.
“Jika Speaker tak menghormati Bersatu, ia akan memberi implikasinya Speaker juga tak menghormati DAP yang telah meluluskan pindaan Perlembagaan mereka pada 25 September 2022 seterusnya diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Begitu juga Amanah dan UMNO yang masing-masing sudah meminda Perlembagaan parti menerusi mesyuarat agung khas pada 18 September 2022 dan 13 Januari 2023, malah ROS meluluskan pindaan Perlembagaan parti berkenaan.
Katanya jika Speaker tak menghormati notis daripada Bersatu, ia membawa makna Speaker juga tidak menghormati apa yang DAP, Amanah dan UMNO lakukan.
“Bersatu bukanlah parti pertama yang melakukan pindaan Perlembagaan parti mereka, tetapi parti itu telah ikut apa yang DAP, Amanah dan UMNO lakukan,” katanya menerusi satu rakaman video semalam.
Kelmarin, Ketua Whip Bersatu yang juga Naib Presidennya, Dr Ronald Kiandee mengemukakan notis kepada Johari meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya yang sebelum ini menyokong Anwar dikosongkan.
Beliau merujuk Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana keahlian parti enam wakil rakyat Bersatu itu terhenti secara serta-merta.
Enam Ahli Parlimen itu adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Hassan berkata, Johari harus mengambil iktibar atas keputusan dilakukan Speaker DUN Kelantan yang mengisytiharkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan kerana ia dibuat atas menghormati pindaan Perlembagaan Persekutuan oleh Dewan Rakyat.
“Kita sendiri di Parlimen yang membuat Akta Anti Lompat Parti melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Jika kita sendiri tidak menghormatinya, susahlah begitu,” katanya.
Di samping itu, beliau juga mengingatkan bahawa mengikut klausa Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, jelas menyatakan bahawa keputusan dalaman parti politik tidak boleh dicabar atau dipersoalkan di mahkamah.
Hassan juga menyatakan bahawa Kerajaan Perpaduan tidak memerlukan sokongan Ahli Parlimen yang mengkhianati partinya sendiri.
Katanya, enam Ahli Parlimen Bersatu itu bukan sekadar mengkhianati parti itu sahaja, malah mengkhianati enam kawasan Parlimen masing-masing.
“Maaf cakap, rakyat di enam kawasan itu mengundi mereka bukan kerana enam Ahli Parlimen itu menyokong Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebaliknya mereka undi sebagai calon Perikatan Nasional (PN) sama ada Pas atau Bersatu, yang menyebabkan kemenangan mereka.
“Rasanya mereka tak akan menang di enam kawasan itu jika menjadi calon PN tetapi menyatakan sokongan terhadap Anwar. Jadi mandat rakyat haruslah dihormati,” katanya.
Nnnn
