HSR Jakarta-Bandung ambil masa sejam

JAKARTA: Kereta api berkelajuan tinggi (HSR) pertama Indonesia yang menghubungkan Jakarta dan Bandung, menamatkan ujian percubaan pada kelajuan 180 kilometer sejam (kmj).

Ketika ujian itu, HSR tiba ke destinasi bandar keempat paling ramai penduduk di republik itu dalam tempoh sejam, kurang separuh daripada perjalanan kereta yang memakan masa dua setengah jam antara kedua-dua bandar.

Ujian percubaan bersepadu pertama itu bakal menyaksikan kelajuan kereta api meningkat secara beransur-ansur kepada 385kmj pada minggu akan datang.

Pembinaan projek kereta api sepanjang 142km itu bermula pada 2016 dan ia adalah sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan China dan menjadikan Indonesia negara Asia Tenggara pertama memiliki perkhidmatan HSR.

Untuk rekod, kereta api laju Maglev Jepun mempunyai kelajuan sehingga 603kmj, diikuti kereta api TGV Perancis pada 574.8kmj, dan Shanghai Maglev di tempat ketiga, mencapai kelajuan 460kmj.

Kereta api Frecciargento Itali mencapai kelajuan maksimum 300kmj.

Presiden Indonesia Joko Widodo merancang melancarkan operasi komersial kereta api itu pada 18 Ogos. Landasan kereta api itu dilengkapi dengan sensor pintar, keupayaan pemantauan gempa bumi dan sistem amaran awal.

Related posts

Leave a Comment