KUALA LUMPUR 22 Jun – Ahli Parlimen Tapah, M. Saravanan mempertahankan jawatannya sebagai Timbalan Presiden MIC selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding bagi penggal 2024-2027 pada pemilihan parti kali ini.
Presiden MIC S A Vigneswaran mengumumkan keputusan itu selepas Saravanan muncul sebagai satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan apabila pencalonan ditutup pada pukul 1 tengah hari ini.
“Oleh sebab beliau mendapat sokongan majoriti dari parti kita, Datuk Seri M Saravanan sekali lagi menjadi Timbalan Presiden MIC,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MIC di sini hari ini.
Selain Timbalan Presiden, penamaan calon bagi jawatan tertinggi turut melibatkan tiga Naib Presiden, 21 Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan Majlis Tertinggi peringkat negeri yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 1 tengah hari.
Pada Mac lepas, Vigneswaran telah diumumkan kekal sebagai Presiden MIC apabila menang tanpa bertanding sewaktu penamaan calon jawatan itu.
Sementara itu, empat calon bagi jawatan naib presiden adalah tiga penyandang terdiri daripada T. Mohan, T. Murugiah dan M. Asojan selain Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MIC Dr R. Nelson.
Sebanyak 45 calon akan merebut 21 jawatan CWC bagi penggal 2024-2027 yang akan diadakan pada 6 Julai.
Nnnn
