Kerusi DUN Nenggiri diisytiharkan kosong

KOTA BHARU 19 Jun –  Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang diwakili Mohd Azizi Abu Naim dari Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diisytiharkan kosong mulai hari ini.

Speaker DUN, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kekosongan itu dibuat selepas DUN menerima notis bertulis mengikut Fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Tubuh Negeri Kelantan daripada Mohd Azizi pada 13 Jun dan Bersatu pada 12 Jun lalu.

Menurut beliau, notis itu memaklumkan mengenai hilang keahlian Bersatu menyebabkan kekosongan luar jangka kerusi berkenaan.

“Selepas meneliti dan berpuas hati dengan surat pemakluman itu, maka dengan ini saya mengisytihar menurut Fasal 1 Perkara 31A bahawa berlaku kekosongan luar jangka kerusi DUN Nenggiri diwakili oleh Mohd Azizi.

Maka dengan ini menurut Fasal 4(4) Perkara 31A, kekosongan kerusi perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis kekosongan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau memberitahu surat pemakluman itu akan disampaikan kepada SPR pada hari ini (Rabu).

“Dari segi peraturannya, kita akan ada pilihan raya dalam tempoh 60 hari bermula hari ini,” katanya.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang sebelum ini dilaporkan sudah digugurkan keahliannya selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut digugurkan Ahli Parlimen Bukit Gantang Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Zahari Kechik (Jeli),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar),  Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan  Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Seorang lagi ialah ADUN Selat Klang Abdul Rashid Asari.

Mereka sebelum ini gagal memberi sebarang jawapan berkaitan surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu untuk menzahirkan ikrar taat setia kepada parti itu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment