BAGAN SERAI 15 Jun – Anwar Ibrahim merakamkan terima kasih kepada Pas yang disifatkannya sebagai memahami keperluan untuk penyasaran subsidi diesel menerusi kenyataan yang dikeluarkan parti itu baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, semua perdana menteri dari berbilang parti politik yang mendahului beliau sebelum ini bersetuju bahawa mesti dibuat penyasaran subsidi bagi mengelakkan ketirisan yang banyak kepada kewangan negara.
“Saya (rasa) aneh kalau digunakan (isu subsidi) sebagai isu politik kerana semua parti politik setuju, dan saya ucap terima kasih kerana Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) sudah keluarkan kenyataan yang maknanya dia faham.
Kerana dia pun pernah umumkan di Parlimen cadangan kerajaan pada ketika itu untuk naikkan harga diesel, tetapi kita dalam kerajaan madani ini naikkan tapi tidak membabitkan rakyat.
“Ketirisan banyak apabila kita bagi sekarang subsidi kepada yang maha kaya dan 3.8 juta orang asing yang tak bayar cukai. Tetapi bila dilaksanakan (penyasaran subsidi) saya percaya tidak akan sempurna sepenuhnya, ada beberapa kelemahan, dan kita cuba (perbaiki),” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Pelan Induk KIGIP di Dewan Dato’ Zainal Abidin, di sini hari ini.
Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan baru-baru ini mengalu-alukan matlamat yang digariskan kerajaan berhubung langkah penyasaran ini tetapi menyuarakan kebimbangan pelaksanaannya, terutama kemungkinan kesan negatifnya ke atas kehidupan rakyat.
Selain itu, wujud kebimbangan berhubung kemampuan kerajaan sendiri untuk memastikan matlamat utama yang digariskan dicapai dalam tempoh yang munasabah.
“Dalam konteks ini, Pas berharap golongan sasaran seperti pengeluar, perkhidmatan pengangkutan, petani, kumpulan berpendapatan rendah dan lain- lain akan diliputi sepenuhnya di bawah langkah pengecualian yang disediakan,” katanya.
Pas juga bimbang kemampuan kerajaan menangani isu kebocoran serius yang berlaku, terutama daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira tiga juta liter sehari.
Pas juga berharap kerajaan akan meningkatkan peranan pemantauan dan penguatkuasaan domestik bagi menghalang pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau memanipulasi pasaran yang sudah tentu akan memberi kesan negatif ke atas ekonomi dan kehidupan rakyat.
Dalam pada itu, Anwar mengakui penyasaran subsidi yang sedang dilakukan kerajaan di bawah pimpinannya ketika ini, masih terdapat beberapa kelemahan, namun memberi jaminan akan diperbaiki dari semasa ke semasa.
Anwar juga sudah memberi arahan supaya memantau mana-mana pihak yang menjadikan isu penyasaran subsidi diesel ketika ini untuk mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barang dan perkhidmatan, termasuk mengenakan hukuman berat seperti lesen dibatalkan.
“(Umpamanya) orang yang bawa bas sekolah yang katakan hendak naikkan harga. Saya kata pantau kalau betul dia dapat (subsidi), sebab kalau bas sekolah kita bagi subsidi. (Namun) sebab apa dia naik juga harga?.
“Saya arahkan supaya teliti dia siapa, tengok lesen dia dan kalau betul dia salah guna, kita akan rampas lesen dia. Tapi kalau dia perlu dan memang untuk bas sekolah, kita bagi, boleh ada masa untuk merayu dan berikan.
“Tetapi kalau sengaja diambil peluang, kalau syarikat-syarikat besar, syarikat pelancongan (umpamanya) yang untung yang besar munasabahkah dapat subsidi ini? subsidi ini kepada orang susah,” katanya.
Kata Anwar lagi, kerajaan sedar polemik yang tercetus susulan dari penyasaraan subsidi bahan bakar terbabit hingga kalangan rakyat menuduh kerajaan sebagai zalim namun baginya, jika tiada keberanian untuk melaksanakannya sekarang, tahun demi tahun kerajaan hanya melaksanakan dasar yang merugikan negara.
“Seperti RM4.5 bilion yang dapat kita jimatkan menerusi penyasaran subsidi tarif elektrik sebelum ini yang turut boleh dinikmati golongan ‘maha kaya’ selain 3.8 juta warga asing,” katanya.
Anwar dalam pada itu berkata penarikan sesuatu subsidi tidak semestinya mengakibatkan kenaikan harga dengan memberikan contoh harga ayam segar yang ketika ini lebih murah berbanding tahun 2021 iaitu selepas pengapungan harga ayam dilaksanakan.
Nnn
