Jimat RM4b bantu STR, pengangkutan awam

PUTRAJAYA 11 Jun – Anwar Ibrahim berkata, penjimatan RM4 bilion yang diraih menerusi penyasaran semula subsidi diesel akan dibelanja bagi menampung keperluan kos pengangkutan awam serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Perdana Menteri, berkata, kos bagi STR yang kini memanfaatkan sembilan juta penerima sudah mencecah belanja RM10 bilion.

“Wang (penyasaran subsidi) itu bukan untuk naikkan elaun menteri atau kementerian lain. Penyasaran subsidi ini untuk pastikan ia tidak diberi kepada maha kaya dan warga asing.

“Jadi penjimatan daripada subsidi diesel ini sebahagiannya untuk menampung keperluan pengangkutan awam atau bantuan kepada rakyat. Sebahagiannya untuk tambah suntikan Sumbangan Tunai Rahmah yang skim ini kini sudah mencecah (belanja) RM10 bilion,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan (MOF) di sini, hari ini.

Mengakui penyasaran subsidi itu bukan tindakan popular, Anwar berkata pelaksanaannya telah melalui penelitian rapi di pelbagai peringkat.

Katanya, penyasaran subsidi diesel adalah langkah ketiga dilaksana kerajaan bagi menstruktur semula agihan subsidi negara, selepas tarif elektrik dengan penjimatan RM4.5 bilion dan pengapungan harga ayam dan telur RM1.2 bilion.

Dalam pada itu, Anwar menjelaskan penyasaran subsidi negara yang dilaksana kerajaan ketika ini sebenarnya sudah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun dulu.

Bagaimanapun, ia tidak dilaksana kerana pimpinan ketika itu lebih memikirkan soal survival politik, kesan kepada kepemimpinan disamping penyasaran subsidi ini sendiri tidak mudah dijayakan.

“Semua Perdana Menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi. Perkara ini dibincangkan semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu. Apa pun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memamg membebankan. Itu pandangan politik,” katanya.

Anwar  berkata, kerajaan yakin langkah diputuskan ini baik, khususnya untuk memastikan subsidi negara hanya diberi kepada mereka yang layak.

“Dalam pertimbangan kita (kerajaan), kita sudah buat keputusan yang baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tak seharusnya beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar dan orang asing.

“Bukan diskriminasi kepada orang asing kerana orang asing tak bayar cukai, cukai levi yang sangat kecil,” katanya.

Anwar berkata, beliau menerima segala kritikan serta kecaman atas keputusan dibuat kerajaan dalam menyusun semula agihan subsidi negara.

“Selain parti dalam Kerajaan Perpaduan, setakat ini nampak kenyataan dari pimpinan Pas agak lunak, tidak menentang hanya memantau, tiada masalah kerana pembangkang harus pantau pelaksanaan dan kita juga harus pantau.

“Oleh itu, kita harus faham bahawa langkah sebaiknya ialah memberi bantuan kepada yang berhak. Tanggungjawab pertama kita adalah kepada rakyat kita,” katanya.

Nnnn

 

Related posts

Leave a Comment