SINGAPURA 11 Jun – Singapore Airlines (SIA) menawarkan bayaran pampasan kepada semua 211 penumpang, yang berada dalam pesawat SQ321 yang mengalami gelora udara ekstrem baru-baru ini.
Sambil memohon maaf, SIA dalam kemas kini terkini mengenai insiden itu di Facebooknya hari ini memaklumkan telah menghantar tawaran pampasan itu semalam, 10 Jun kepada para penumpang yang terlibat.
Menurut kenyataan itu, semua penumpang yang terjejas seharusnya sudah menerima tawaran bayaran pampasan mereka menerusi emel, di samping maklumat mengenai bagaimana mereka boleh menguruskan tuntutan tersebut.
SQ321 sedang dalam perjalanan dari London ke Singapura apabila ia berdepan dengan perubahan “mendadak” daya graviti (G) sedang ia berada di ruang udara Lembangan Sungai Irrawaddy di Myanmar.
Para penumpang dan anak kapal tercampak ke siling pesawat itu sebelum terjatuh ke bawah, menyebabkan pesawat itu membuat lencongan kecemasan ke Bangkok.
Seorang penumpang rakyat Britain, Geoff Kitchen, 73 tahun, meninggal dunia ketika berada dalam pesawat itu disebabkan serangan jantung manakala yang lain pula mengalami kecederaan.
Menurut SIA, penumpang yang mengalami “kecederaan ringan” berikutan insiden tersebut ditawarkan ganti rugi sebanyak AS$10,000 (RM47,231).
“Bagi mereka yang mengalami kecederaan yang lebih serius, kami mempelawa mereka untuk berbincang mengenai pampasan sesuai dengan keadaan mereka, apabila mereka sudah sihat dan bersedia untuk melakukan demikian,” kata SIA.
Bagi penumpang yang dinilai dari segi perubatan sebagai mengalami kecederaan serius, yang memerlukan jagaan perubatan jangka panjang dan memerlukan bantuan kewangan, ditawarkan pembayaran awal sebanyak AS$25,000 (RM118,079) bagi memenuhi keperluan segera mereka.
“Ini adalah sebahagian daripada wang pampasan yang akan diterima oleh penumpang ini.” kata kenyataan itu.
Di samping itu, bayaran balik penuh tambang penerbangan juga akan ditawarkan kepada semua penumpang SQ321, termasuk mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mereka juga akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah atau United Kingdom, menurut SIA.
SIA bagaimanapun tidak menyebut tentang pampasan bagi 18 anak kapal yang berada dalam SQ321.
Syarikat penerbangan itu juga menyatakan bahawa semua penumpang diberi S$1,000 (RM3,489) setiap seorang sebaik sahaja mereka berlepas dari Bangkok bagi menampung perbelanjaan segera mereka.
SIA menambah bahawa ini meliputi perbelanjaan perubatan penumpang yang cedera dan aturan yang dibuat untuk anggata keluarga mereka terbang ke Bangkok apabila diperlukan.
“SIA kekal komited untuk menyokong penumpang yang terjejas, yang berada dalam SQ321,” jelas kenyataan itu.
Nnn