PAT Bersatu tolak hasrat Muhyiddin

SHAH ALAM 25 Nov. –  Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu sebulat suara menolak keputusan Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden parti pada pemilihan yang dijadual diadakan tahun depan.

Resolusi itu diputuskan selepas keseluruhan perwakilan memuktamadkan ketetapan selari dengan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang mahu Muhyiddin terus mengemudi parti itu.

Pengerusi Tetap Bersatu,  Mohd Suhaimi Abdullah, mengumumkan resolusi itu dibuat berdasarkan Perkara 123 Ucapan Dasar Presiden pada PAT kali keenam parti berkenaan, semalam.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga memuktamadkan resolusi menolak syor mesyuarat untuk mencari pengganti Muhyiddin, mengikut Perkara 124 ucapan sama.

“PAT Bersatu juga menolak Perkara 125 Ucapan Dasar Presiden yang menyatakan PAT Bersatu 2023 adalah kali terakhir disertai Muhyiddin sebagai presiden parti.

“Kita sudah mendengar perbahasan Ucapan Dasar Presiden daripada perwakilan negeri dan sayap serta wakil mahasiswa. Rata-rata menyokong Ucapan Dasar Presiden, kecuali Perkara 123, 124 dan 125.

“Mesyuarat MPT juga sebulat suara menolak cadangan Muhyiddin tidak mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan akan datang, selain berpandangan beliau diperlukan oleh parti dan negara.

“PAT Bersatu berharap Muhyiddin akan mendengar rayuan daripada akar umbi yang mahu beliau terus mengemudi parti,” katanya di sini, hari ini.

Resolusi menolak Perkara 123, 124 dan 125 Ucapan Dasar Presiden Bersatu itu dibuat selepas dibahaskan 20 perwakilan yang mengambil bahagian pada PAT parti berkenaan.

Related posts

Leave a Comment