GAZA: Sekurang-kurangnya 210 orang terbunuh manakala lebih 400 lagi cedera dalam serangan ganas tentera Israel ke atas kem pelarian Gaza tengah, al-Nuseirat di mana empat tebusan berjaya diselamatkan.
Ia berlaku selepas tentera Israel mengumumkan empat tebusan Israel di al-Nuseirat diselamatkan dalam operasi yang dijalankan semalam.
Tentera menamakan tebusan yang didakwa diselamatkan dikenali sebagai Noa Argamani, 26, Almog Meir Jan, 22, Andrey Kozlov, 27, dan Shlomi Ziv, 41.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh berikrar untuk terus berjuang selepas serangan Israel ke atas kem berkenaan.
“Rakyat kami tidak akan menyerah dan akan terus melakukan penentangan bagi mempertahankan hak kami dalam menghadapi musuh jenayah ini,” kata Haniyeh dalam satu kenyataan.
Kerajaan Hamas dalam satu kenyataan sebelum ini melaporkan, seramai 94 orang terbunuh di dalam dan sekitar al-Nuseirat, dan menambah bahawa mereka dibawa ke hospital Al-Aqsa Syuhada di Deir al-Balah.
