D-8 gesa gencatan senjata segera

PUTRAJAYA 9 Jun – Majlis Menteri Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) menggesa gencatan senjata segera, kekal dan tanpa syarat di ambil bagi menghentikan serangan Israel ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Negara-negara D-8 juga mengutuk sekeras-kerasnya serangan kejam dan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap warga Palestin di Semenanjung Gaza serta di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Gesaan itu terkandung dalam deklarasi bersama mesyuarat luar biasa Majlis Menteri Luar D-8 di Istanbul, Turkiye semalam yang melibatkan Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye.

Pada mesyuarat itu, Malaysia diwakili Menteri Luar Mohamad Hasan.

Deklarasi itu juga menyatakan solidariti D-8 dalam menghadapi malapetaka kemanusiaan ke atas Semenanjung Gaza dan rakyatnya akibat serangan berterusan Israel selama lebih lapan bulan tanpa menghormati nilai moral dan kemanusiaan yang paling asas.

Negara D-8 juga menyeru semua negara memastikan Israel mematuhi dengan tegas langkah sementara yang diarahkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) – untuk segera menghentikan serangan ketenteraannya dan sebarang tindakan lain di Rafah.

Ia juga menyeru Israel untuk berundur dari Rafah dan menyediakan akses kemanusiaan yang selamat, segera dan tanpa halangan melalui lintasan Rafah, serta penyediaan perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan di seluruh Semenanjung Gaza.

Deklarasi bersama itu juga mengesahkan sokongan teguh negara anggota D-8 kepada perjuangan rakyat Palestin untuk merealisasikan hak mereka yang tidak boleh dinafikan, keahlian penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan semua resolusi yang berkaitan dengan Perkara Palestin dalam forum antarabangsa.

Selain itu, deklarasi bersama menyeru pelaksanaan segera Resolusi PBB yang berkaitan, terutamanya Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2728 (2024) dan Resolusi UNSC 2720 (2023).

Pada masa sama, negara D-8 menyeru semua negara untuk menyokong, campur tangan dan/atau menyumbang kepada proses undang-undang di hadapan mekanisme/tribunal undang-undang antarabangsa untuk memastikan akauntabiliti terhadap pelanggaran serius Undang-undang Kemanusiaan Antarabangsa dan Undang-undang Antarabangsa yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

Negara D-8 juga menyokong semua usaha ke arah memperkasakan ekonomi Palestin serta membina semula Gaza selepas pengunduran tentera Israel.

(Foto D-8)

Related posts

Leave a Comment