Hasina didakwa lakukan jenayah kemanusiaan

DHAKA: Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dan sembilan yang lain didakwa melakukan “genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan” semasa protes ganas yang mengakibatkan ratusan orang terbunuh sebelum beliau meletak jawatan.

Empat anggota kanan Kabinet Hasina, bekas Ketua Polis Negara dan tiga pegawai polis lain juga dinamakan dalam kes terbabit.

Menurut seorang pegawai kanan di Tribunal Jenayah Antarabangsa (ICT) Ataur Rahman, penyiasatan terhadap kes ini telah dimulakan apabila pihaknya secara rasmi mendaftarkan aduan berhubung perkara ini.

Setelah penyiasatan selesai, ICT akan menyerahkan penemuannya kepada pendakwa raya untuk menentukan langkah undang-undang seterusnya.

Gazi Tanim, seorang peguam Mahkamah Agung memfailkan aduan itu kepada ICT bagi pihak seorang bapa kepada pelajar darjah sembilan yang terbunuh akibat tembakan polis semasa protes pada 5 Ogos di pinggir Dhaka.

Pempetisyen mendakwa bahawa tertuduh telah mengarahkan, merancang, dan melaksanakan genosid serta jenayah terhadap kemanusiaan dengan membunuh penunjuk perasaan awam anti-kerajaan yang tidak bersenjata.

Nnn

Related posts

Leave a Comment