Reman ibu bapa Zayn Rayyan disambung

PETALING JAYA 7 Jun – Mahkamah Majistret hari ini membenarkan permohonan sambung reman selama enam hari terhadap ibu bapa kepada Zayn Rayyan bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Majistret Ainaa Muhamad Kamal membenarkan tempoh reman yang sepatutnya tamat hari ini disambung sehingga 12 Jun ini.

Pada 1 Jun lalu, Ainaa mengeluarkan perintah reman tujuh hari selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu .

Kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kematian Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang meninggal dunia akibat dibunuh di Damansara Damai, Disember tahun lalu .

Mayat Zayn Rayyan, ditemukan pada 6 Disember lalu dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Sementara itu, peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, Ilyani Khuszairy berkata, ibu bapa kanak-kanak autisme itu berada dalam keadaan tertekan dan berulang kali menegaskan pembunuh sebenar masih berada di luar.

“Kedua-dua pihak (ibu bapa Zayn) berada dalam keadaan yang sangat-sangat tertekan, dapat tengok muka dia, menangis ketika bertanya-tanya soalan dan sering mengatakan bahawa pembunuh sebenarnya ada di luar.

“Mereka dalam tekanan dan berharap supaya kes ini dapat diselesaikan secara baik dan siasatan dapat dijalankan secara telus dan adil, keadilan terhadap arwah anak mereka dapat dicapai,” katanya di pekarangan mahkamah, hari ini.

Ilyani berkata, surat juga sudah dihantar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berjumpa ibu bapa Zayn Rayyan namun belum dapat jawapan.

“Mak Zayn Rayyan sihat, cuma sama juga sangat tertekan dan sedih, cakap pun tak banyak, mungkin masih lagi dalam keadaan terkejut dan tertekan semasa berada dalam tujuh hari reman,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili mereka, Fahmi Abd Moin berkata, kedua-dua anak guamnya tetap memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk menyelesaikan kes itu dan mencari keadilan untuk anak mereka.

“Buat masa ini tiada lagi permohonan untuk pemeriksaan psikologi, pihak kami juga memohon kepada pihak mahkamah tadi untuk berjumpa dengan anak guam ketika dalam reman enam hari,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment