NEW YORK: Mulai 2025, Denmark, Greece, Pakistan, Panama dan Somalia akan menjadi anggota tidak tetap dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) selama dua tahun.
Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) memilih lima anggota baharu itu semalam bagi menggantikan Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique dan Switzerland.
Majlis Keselamatan PBB adalah satu-satunya badan PBB yang mempunyai kuasa untuk meluluskan resolusi yang mengikat mengikut undang-undang antarabangsa.
Amerika Syarikat, China, Russia, Britain dan Perancis adalah lima anggota majlis tetap, yang semuanya mempunyai kuasa veto.
Sepuluh anggota majlis tidak tetap, masing-masing dipilih selama dua tahun, mempunyai pengaruh yang jauh lebih kecil.
Sementara itu, Perhimpunan Agung PBB juga memilih presiden baharu bagi sesi ke-79 iaitu bekas perdana menteri Cameroon, Philémon Yang, akan memegang jawatan itu setahun.
Setiausaha Agung PBB António Guterres berkata Yang adalah individu yang berdedikasi untuk masa depan benuanya, Afrika dan mempunyai banyak pengalaman.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengannya ketika beliau menyatukan Negara Anggota mengenai penyelesaian kolaboratif yang dapat memberikan keadilan kepada Afrika dan dunia membangun.”
Yang menyampaikan “penghargaan yang tulus” kepada negara-negara anggota atas sokongan mereka terhadap pemilihannya manakala Dennis Francis, presiden semasa Perhimpunan Agung, mengucapkan tahniah kepada Yang.
