KUALA LUMPUR 4 Jun – Peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin, menarik diri sebagai peguam mereka mulai hari ini kerana mahu memberi tumpuan kepada beberapa kes lain yang sedang dikendalikannya.
Mahmud Abdul Jumaat! peguam daripada firma guaman Tetuan Emir Mahmud & Co memutuskan menarik diri ketika ibu bapa Zayn Rayyan sedang direman tujuh hari bermula Sabtu lalu.
“Saya berdoa agar perjalanan kes ini berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.
Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama,” katanya,
Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis pada Jumaat lalu.
Beliau turut hadir semasa prosiding permohonan reman ke atas suami isteri itu di Mahkamah Petaling Jaya, Sabtu lalu sebelum Majistret Ainaa Muhammad Kamal membenarkan reman tujuh hari sehingga 7 Jun.
Pada 6 Disember tahun lalu, kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan yang juga anak sulung pasangan berkenaan ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di kawasan saliran air, kira-kira 200 meter dari kediaman keluarganya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.
Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan leher, berkemungkinan besar dicekik atau dijerut.
Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada pukul 6.30 petang oleh keluarganya.
