DRT: Biar pihak berkuasa siasat

KUALA LUMPUR 28 Mei – Biar pihak berkuasa siasat. Itu penjelasan Anwar Ibrahim berhubung pemberian kontrak Projek Rintis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Kerajaan Selangor kepada syarikat suami Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

“Yang ini serah pada pihak berkuasa, jika mereka ada (terima) laporan, ia seharusnya disiasat dengan telus,” kata Perdana Menteri ketika ditemui pemberita di luar Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam di sini, hari ini.

Minggu lalu, Exco Selangor, Ng Sze Han, menyatakan Asia Mobility Technologies Sdn Bhd, adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek perintis DRT.

Kedua-dua syarikat itu juga sudah mendapat kelulusan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD). Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobility ialah suami Hannah, Ramachandran Muniandy.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Tan Sri Azam Baki menjelaskan tidak mengesan sebarang percanggahan kepentingan dalam pemberian kontrak DRT oleh kerajaan Selangor kepada syarikat milik bersama suami Hannah itu.

Beliau berkata,  berdasarkan pemerhatiannya dalam pemberitaan di media, projek berkenaan diberikan oleh entiti lain yang tidak mempunyai kena mengena dengan Hannah.

“Saya hari ini tidak mengetahui lanjut mengenai kes itu, tetapi apa yang ingin saya katakan sekiranya satu kontrak yang tiada kena mengena dengan tugas (pihak yang dibangkitkan) ia bukanlah satu kesalahan.

“Saya tidak nampak ia mempunyai kaitan antara kerajaan negeri Selangor dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Tetapi ia berlainan sekiranya KBS yang memberi kontrak itu kepada syarikat berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, Asia Mobility mempertahankan pembabitannya dalam perkhidmatan DRT itu, dengan menyatakan bahawa hanya dua syarikat di negara ini layak untuk menyediakan perkhidmatan yang diberikannya.

Related posts

Leave a Comment