Hamas dakwa tawan askar Israel

KAHERAH: Pejuang Hamas mendakwa berjaya menangkap askar Israel semasa pertempuran di Jabalia di utara Gaza pada Sabtu, walaupun tentera Israel menafikan dakwaan itu.

Bagaimanapun jurucakap sayap bersenjata Hamas tidak menyatakan berapa ramai askar yang diculik, dan tidak menunjukkan bukti dakwaan itu.

Dalam satu mesej yang dirakamkan dan disiarkan oleh Al Jazeera, jurucakap Briged Al Qassam, Abu Ubaida berkata pejuangnya berjaya memperdaya tentera Israel masuk ke dalam serangan hendap di dalam terowong sebelum pejuang melancarkan serangan.

“Tentera Israel berundur dengan meninggalkan semua anggota pasukan mereka yang mati, cedera, dan ditangkap,” kata Abu Ubaida.

Manakala Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menafikan dakwaan sayap bersenjata Hamas itu dan menjelaskan bahawa tidak ada pertempuran di mana seorang pun askar diculik

Dalam mesej video hamas selama empat minit, Abu Ubaida turut mengecam kerajaan Israel kerana meneruskan dasar balas dendam dan pemusnahan yang membuta-tuli lagi tidak masuk akal, sehingga menyebabkan kegagalan terbaru operasi tentera Israel di Jabalia dan Rafah.

Katanya, pejuang Hamas melakukan berpuluh-puluh serangan terhadap IDF dalam lebih dua minggu pencerobohan darat Israel ke atas Rafah dan Beit Hanoon.

Beliau juga mendakwa tentera Israel sedang menggali mayat tawanan di Gaza hanya untuk propaganda peribadi Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu, dengan menggambarkan penemuan mayat tawanannya sebagai pencapaian ketenteraan dan moral.

Komen oleh Abu Ubaida itu dibuat beberapa jam selepas potensi untuk menyambung semula rundingan gencatan senjata Gaza yang diketengahkan pada Sabtu.

Related posts

Leave a Comment