Desak adakan pilihan raya Israel

TEL AVIV: Ribuan penunjuk perasaan Israel turun ke jalanan, semalam, untuk menggesa diadakan pilihan raya yang baharu serta menuntu lebih banyak tindakan daripada kerajaan untuk membawa pulang tebusan yang ditahan di Gaza.

Ini bukan kali pertama penunjuk perasaan mengambil tindakan seumpama itu yang memberi tekanan kepada Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Protes dilihat berterusan ketika perang di Gaza menghampiri bulan ketujuh dan di tengah-tengah kemarahan yang semakin meningkat terhadap kerajaan kerana masih terdapat 133 tebusan Israel ditahan gerakan Hamas.

Media melaporkan kebanyakan rakyat Israel menyalahkan Netanyahu atas kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan dahsyat oleh pejuang Hamas ke atas masyarakat di selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Netanyahu berulang kali menolak pilihan raya awal kerana beliau dijangka kalah, malah pilihan raya ketika peperangan hanya akan memberi kelebihan kepada Hamas.

Menurut Israel, Hamas menahan 253 orang ketika serangan 7 Oktober yang membunuh kira-kira 1,200 orang.

Beberapa tebusan dibebaskan dalam gencatan senjata November, tetapi usaha untuk mendapatkan perjanjian lain dilihat terhenti.

Netanyahu berjanji untuk meneruskan kempen Israel di Gaza, yang menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan sudah membunuh lebih 34,000 rakyat Palestin, sehingga semua tebusan dibawa pulang dan Hamas dimusnahkan.

Related posts

Leave a Comment