Kempen dos penggalak polio

LONDON: Susulan penemuan 116 virus polio daripada 19 sampel kumbahan di London, Jun lalu, Britain melancarkan kempen dos penggalak vaksin polio untuk kanak-kanak berumur bawah 10 tahun.

Menurut Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UK), tahap virus polio yang ditemui sejak Jun itu dan kepelbagaian genetik menunjukkan bahawa penularan berlaku di beberapa daerah di London.

Sehingga kini, belum ada kes yang dikenal pasti, namun dalam usaha mencegah wabak, doktor meminta kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun untuk mendapatkan vaksin dos penggalak.

Kadar imunisasi di seluruh London berbeza-beza, tetapi secara purata di bawah kadar liputan 95 peratus yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memastikan polio terkawal.

Virus tidak berbahaya ini boleh menular kepada kanak-kanak yang tidak divaksinasi dan boleh bermutasi kepada versi virus lebih berbahaya dan menyebabkan penyakit.

Britain juga memperluaskan pengawasan untuk polio ke kawasan lain di luar London untuk melihat sama ada virus itu telah merebak lebih jauh.

Polio merebak terutamanya melalui pencemaran oleh najis dan mampu membunuh serta melumpuhkan beribu-ribu kanak-kanak setiap tahun di seluruh dunia.

Related posts

Leave a Comment