LONDON – Pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) disaran memohon waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan tiga pemimpin Hamas iaitu Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh.
Peguam hak asasi manusia Britain, Amal Clooney, mengesyorkan demikian dan perkara itu dikongsi Ketua Pendakwa Raya ICC, Karim Khan, dalam ucapan penghargaannya kepada Clooney, yang juga penasihat khas badan kehakiman itu.
Karim menyifatkan Clooney sebagai sebahagian daripada ‘panel pakar dalam undang-undang antarabangsa’ yang menyemak segala bukti.
Difahamkan, satu notis permohonan telah diserahkan Karim kepada panel tiga hakim yang terbabit dalam pra-perbicaraan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Sementara itu, dalam mesej di laman sesawang yayasannya, Clooney berkata Karim meminta bantuannya bagi ‘menilai bukti jenayah perang yang disyaki dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan Gaza’.
Justeru, beliau bersetuju dan menyertai panel pakar undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan tugas itu, di mana mereka terbabit dalam proses bagi semakan bukti dan analisis undang-undang, termasuk di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda.
“Terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa pemimpin Hamas iaitu Yahya Sinwar, Mohammed Deif dan Ismail Haniyeh, melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk menculik, membunuh dan jenayah keganasan seksual.
“Kami juga percaya Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk guna kebuluran sebagai kaedah peperangan, pembunuhan, penganiayaan dan pemusnahan,” katanya.
Amal Clooney, yang juga isteri kepada pelakon Hollywood, George Clooney, sebelum ini berdepan kritikan kerana gagal mengkritik secara terbuka perang di Gaza.
Dalam pada itu, Karim mewakili ICC menepis kritikan terhadap usaha tribunal untuk mendapatkan waran dengan menegaskan tiada sesiapa yang berada di atas undang-undang.
“Baik AS mahupun Israel harus patuh, walaupun kedua-dua negara itu bukan ahli ICC,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama penyampai berita CNN, Christiane Amanpour.
Sekiranya ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu atau mana-mana menteri Kabinetnya, ia akan menyukarkan mereka untuk pergi ke mana-mana daripada 124 negara yang mengiktiraf ICC, termasuk sekutu utama AS seperti Britain dan Jerman.
Ia akan memaksa negara anggota untuk bekerjasama dengan usaha mengekstradisi mereka yang tertakluk kepada waran tangkap ICC itu.
Sementara itu di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, menyelar tindakan ICC yang bersedia mengeluarkan waran tangkap ke atas Netanyahu dan menteri-menteri Kabinetnya.
Biden turut menyifatkan permohonan pendakwa raya ICC untuk keluarkan waran tangkap terhadap pemimpin Israel sebagai keterlaluan.
“Apa sahaja yang didakwa oleh pendakwa ini, tiada persamaan – langsung tiada – antara Israel dan Hamas. Kami akan sentiasa berdiri bersama Israel menentang ancaman terhadap keselamatannya,” kata Biden dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.
Nnnn
