Upacara pengebumian Ebrahim bermula

TABRIZ: Perarakan jenazah Presiden Iran, Ebrahim Raisi, akan diadakan di bandar barat laut Tabriz hari ini sebelum jenazahnya dibawa ke Tehran.

Pengarah Pejabat Pertubuhan Penyebaran Islam Iran di Tabriz, Hojjatoleslam Mahmoud Hosseini, berkata penduduk Tabriz akan mengucapkan selamat tinggal kepada presiden dan membawa jenazahnya ke Lapangan Terbang Tabriz.

Beliau dilaporkan memberitahu wartawan Agensi Berita Republik Islam (IRNA), jenazah Ebrahim dan mangsa-mangsa lain nahas helikopter itu disimpan di tanah perkuburan Tabriz pada Isnin malam.

Katanya, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Ayatollah Ali Khamenei, akan menunaikan solat jenazah untuk presiden pada Rabu dan jenazahnya akan dikebumikan di kampung halamannya di Mashhad sehari kemudian.

Upacara pengebumian Ebrahim akan diadakan dari Selasa hingga Khamis di bandar Tabriz, Qom, Tehran dan Birjand sehingga pengebumian terakhirnya di Makam Imam Reza di Masshad, menurut media Iran.

Manakala, upacara pengebumian ditetapkan bermula Selasa di Tabriz, wilayah Azerbaijan Timur, untuk mereka dan mangsa lain iaitu tiga kru, dua pengawal peribadi, seorang imam dan gabenor wilayah.

Ebrahim sedang dalam penerbangan pulang dari satu majlis perasmian empangan di sempadan Iran dengan Azerbaijan pada Ahad apabila helikopter dinaikinya terhempas di Varzaqan, barat laut Iran, pada Ahad.

Menteri Luar, Hossein Amirabdollahian dan beberapa pegawai kanan wilayah turut berada dalam helikopter yang sama dan kesemuanya terkorban.

Related posts

Leave a Comment