Putra persoal cadangan tubuh RCI 13 Mei

KUALA LUMPUR 20 Mei – Putra mempersoalkan tujuan sebenar cadangan kumpulan tertentu yang menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung rusuhan kaum 13 Mei 1969, yang sudah lebih 50 tahun berlalu.

Ketua Penerangannya, Shahrulufti Sharif berkata, Putra menegaskan pendirian bahawa sejarah tidak boleh dan tidak sepatutnya dipadamkan atau diubah semata-mata untuk memenuhi keinginan pihak-pihak tertentu.

“Gesaan terbaru untuk menubuhkan RCI 13 Mei adalah cubaan untuk memadamkan sejarah yang memaparkan pengkhianat-pengkhianat sebenarnya yang mencetuskan tragedi 13 Mei 1969.

Inilah niat dan tujuan gesaan untuk menubuhkan RCI mengenai Peristiwa 13 Mei 1969,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Persatuan Sahabat Warisan Kuala Lumpur dan Selangor (Pesawa)
kumpulan yang menyatukan keluarga mangsa tragedi 13 Mei mengulangi gesaan supaya RCI berhubung rusuhan kaum itu ditubuhkan.

Lim Kit Siang yang sebelum ini Penasihat DAP, juga pada 2013 mencadangkan penubuhan RCI 13 Mei dengan tujuan untuk menyembuhkan luka paling buruk dalam rusuhan kaum pada 1969.

Putra sedar peristiwa 13 Mei merupakan salah satu bab paling gelap dalam sejarah Malaysia, yang menyebabkan kehilangan nyawa yang tidak terhitung dan kerugian harta benda yang besar.

“Namun, Putra harus bertanya, apa tujuan sebenar tuntutan ini? Adakah ini langkah bijaksana untuk mengingat kembali dan mungkin tanpa sengaja membangkitkan semula api perkauman yang kita usaha keras untuk padamkan?,” katanya.

Dalam hal ini, Putra percaya bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada pertanyaan yang lebih mendesak iaitu mengapa perkauman semakin menjadi-jadi di negara kita.

“Adakah ini disebabkan oleh dasar-dasar asas negara yang cuba dirobek-robek atas dasar agenda Malaysian Malaysia?,” katanya.

Shahrulufti menegaskan, menghormati sejarah dan memori mereka yang terlibat dalam peristiwa berdarah itu adalah penting di mana sejarah konflik antara China dengan Jepun dan British juga merupakan bab penting yang tidak boleh dilupakan.

“Perang China-Jepun Kedua, misalnya, adalah konflik besar yang melibatkan kekejaman dan penderitaan yang besar, dan ia adalah sebahagian daripada sejarah kita yang bersama.

“Oleh itu, marilah kita bersama-sama menghargai sejarah kita, belajar daripadanya, dan bergerak ke hadapan dengan semangat kesepaduan dan keharmonian. Hanya dengan cara ini, kita dapat memastikan tragedi masa lalu tidak berulang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment