Enggan jawab, tunggu tindakan Bersatu

BUKIT GANTANG 18 Mei – “Saya tak akan jawab. Saya nak tunggu apa tindakan mereka (selepas 14 hari) dan jika berlaku PRK (Pilihan Raya Kecil) pun, saya akan turun bertanding,” kata  Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.

Pada masa yang sama Ahli Parlimen Bukit Gantang itu juga menyifatkan surat yang sudah diterima itu tidak ada apa-apa makna.

Beliau mentulas mengenai surat menyatakan sokongan kepada semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu termasuk yang mengumumkan sokongan masing-masing kepada kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Bersatu,  Hamzah Zainudin berkata, sekiranya mereka gagal membalas surat yang diberikan itu dalam tempoh 14 hari, keahlian individu itu dalam Bersatu akan terhenti serta-merta dan status sebagai wakil rakyat tergugur.

Memetik laporan Berita Harian,  Syed Abu Hussin Hafiz dilaporkan berkata, beliau mahu menunjukkan tindakan mereka itu tak betul, merosakkan fikiran rakyat dan mengganggu Ahli Parlimen menjalankan tugas.

Syed Abu Hussin Hafiz berkata, beliau turut merujuk surat Bersatu itu kepada peguam serta bekas hakim dan mereka memaklumkan ada kesalahan kerana sengaja membuat gangguan dan menghasut rakyat.

Beliau menjangkakan kesemua enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri bersedia mengambil tindakan jika perlu bagi memberi kesedaran pada Bersatu.

Ditanya mengenai parti yang akan diwakili jika berlaku sebarang PRK di kawasan itu kelak, beliau belum bersedia mengumumkannya.

Hamzah dalam kenyataannya semalam, memberi tempoh 14 hari kepada semua Ahli Parlimen dan ADUN terbabit untuk membalas arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu.

Katanya, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian masing-masing dalam Bersatu terhenti dengan serta-merta mengikut Fasal 10.4 perlembagaan parti itu.

Terdahulu beliau meninjau mangsa banjir Kampung Jelutung, Changkat Ibol di sini, hari ini.

.

Related posts

Leave a Comment