KUALA LUMPUR 12 Okt. – Kerajaan sekali lagi digesa membenarkan pengeluaran dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada pencarum yang benar-benar memerlukan.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan berkata, permintaan itu susulan memorandum yang diterima Perikatan Nasional (PN) daripada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) dan pengeluaran KWSP antara 10 permintaan yang dikemukakan.
“Mereka (PGIRM) meminta kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP secara bersasar. Mereka menjalankan tinjauan kepada 99,335 pencarum yang menyatakan mereka terdesak dan berada dalam kesusahan yang amat memerlukan pengeluaran KWSP secara bersasar dengan tujuan kecemasan.
“Kita harap kerajaan ambil tindakan segera. Tolong benarkan KWSP secara bersasar,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Wan Saiful berkata PGIRM melalui memorandum sama meminta kerajaan memudah cara individu yang kehilangan pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19 untuk kembali ke alam pekerjaan.
“Lanjutan krisis dan masalah ekonomi negara, ramai rakyat dibuang kerja. Sehingga hari ini, mereka tak dapat kerja semula.
“Jadi permintaan rakyat ini supaya kerajaan menjalankan proses memudahkan mereka yang dibuang kerja, ada pengalaman kerja tetapi sampai sekarang tak dapat pekerjaan.
“Kita minta kerajaan mudahkan urusan mereka mendapatkan kembali pekerjaan supaya boleh menjalani kehidupan secara bermaruah dan tidak perlu meminta secara berterusan,” katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim pada sidang media sama menyarankan kerajaan memberi keutamaan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada warga tempatan biarpun terdapat industri mahu mendapatkan khidmat pekerja asing.
Beliau juga menyifatkan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini yang memutuskan untuk membuka 7,500 kuota pekerja asing bagi pengambilan subsektor perkhidmatan tukang gunting rambut, tekstil dan tukang emas, bukan satu perkara mendesak.
Katanya, keperluan 7,500 pekerja asing seperti diumumkan Menteri Sumber Manusia itu tidak terlalu mendesak dan ia boleh dipenuhi dengan mengambil warga tempatan yang berkemahiran untuk mengisi keperluan sektor terbabit termasuk kesihatan.
Awang berkata, negara juga pada masa ini mempunyai lepasan pelajar dalam bidang kejururawatan yang boleh menampung keperluan tenaga kerja tempatan.
Pada masa yang sama, negara juga mempunyai lambakan jururawat yang masih dalam status kontrak yang boleh diberikan jawatan tetap di samping banyak jururawat terlatih.
“Jadi tumpulah kepada anak tempatan sebelum kita mahu membuka kepada warga asing ini,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengumumkan kelonggaran bersyarat secara sementara kepada kemudahan kesihatan swasta untuk mengambil jururawat terlatih warga asing bagi tempoh 12 bulan mulai 1 Oktober.
