MALE: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran kepada Maldives berhubung bebanan hutang yang terus meningkat, berikutan negara kepulauan itu dilihat bersedia untuk meminjam lebih banyak daripada pemiutang utama China.
Tanpa menamakan pemberi pinjaman utama kepulauan itu, IMF berkata, Maldives kekal berisiko tinggi menghadapi masalah hutang luaran dan keseluruhan tanpa perubahan dasar ketara.
Justeru IMF menggesa Maldives meningkatkan hasilnya dengan segera serta mengurangkan perbelanjaan pinjaman luar untuk mengelakkan krisis ekonomi lebih besar.
IMF dalam kenyataan berkata, unjuran yang menunjukkan ketidakpastian adalah tinggi dan keadaan mungkin bertambah merosot, termasuk daripada penyatuan fiskal yang tertangguh serta pertumbuhan lebih lemah dalam pasaran sumber utama untuk pelancongan.
Data rasmi menunjukkan hutang luar negara Maldives mencecah AS$4.038 bilion (RM19.1 bilion) tahun lalu, kira-kira 118 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan meningkat hampir AS$250 juta (RM1.18 bilion) daripada 2022.
Sehingga Jun 2023, Bank Eksport-Import China memiliki 25.2 peratus daripada hutang luar Maldives selain menjadi pemberi pinjaman tunggal terbesar negara itu, menurut angka dikeluarkan Kementerian Kewangan Maldives.
Maldives sebuah negara kecil dengan 1,192 pulau-pulau di sepanjang 800 kilometer (km) merentasi khatulistiwa, namun secara strategiknya, ia melintasi laluan perkapalan antarabangsa yang penting.
Sejak memenangi jawatan tahun lalu, Presiden Mohamed Muizzu mengubah orientasi negaranya, yang terkenal dengan pusat peranginan pantai mewah serta dihadiri ramai selebriti.
Bulan lalu, partinya memenangi pilihan raya Parlimen selepas berjanji untuk membina beribu-ribu pangsapuri, menuntut semula lebih banyak tanah untuk pembangunan bandar dan menaik taraf lapangan terbang, dengan semuanya akan mendapat pembiayaan China.
China menjanjikan lebih banyak pembiayaan sejak kemenangan Muizzu tahun lalu, yang mengadakan lawatan negara ke Beijing sejurus selepas beliau mengambil alih kuasa.
Nnn
