WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 800 serangan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat direkodkan yang mengakibatkan korban atau kerosakan harta benda sejak 7 Oktober tahun lalu.
Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, ini termasuk pembunuhan lebih 30 rakyat Palestin oleh tentera atau peneroka Israel, kecederaan hampir 500 yang lain.
Menurut jurucakap PBB, Stephane Dujarric, selain itu serangan juga menyebabkan kerosakan terhadap berpuluh-puluh rumah selain memusnahkan hampir 12,000 pokok dan 450 kenderaan.
Beliau turut memberi amaran ketegangan di Tebing Barat dan di Baitulmaqdis Timur semakin memuncak.
Mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza ketika rundingan sedang berjalan di Kaherah, Dujarric berkata gencatan senjata akan memudahkan PBB untuk mengagihkan bantuan yang sudah ada di Gaza.
OCHA melaporkan organisasi bantuan terus menghadapi kekangan akses untuk menjangkau orang yang memerlukan bantuan di Semenanjung Gaza, termasuk penafian misi yang dirancang atau kelewatan berpanjangan di pusat pemeriksaan tentera Israel di laluan menghubungkan utara dan selatan Gaza.
Agensi PBB itu berkata, lebih satu perempat misi kemanusiaan ke utara Gaza pada April dihalang pihak berkuasa Israel dan 10 peratus telah dinafikan. Namun OCHA dan rakan kongsi kemanusiaan meneruskan usaha untuk meningkatkan operasi bantuan pada bila-bila masa dan di mana sahaja yang boleh.
Mengenai kemungkinan gencatan senjata di Gaza ketika rundingan sedang berjalan di Kaherah, Dujarric berkata gencatan senjata akan memudahkan PBB untuk mengagihkan bantuan yang sudah ada di Gaza.
Israel melancarkan serangan tanpa henti ke atas wilayah terkepung Palestin sejak serangan Hamas 7 Oktober tahun lalu yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.
Lebih 34,500 rakyat Palestin telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, dan ribuan cedera di tengah-tengah kemusnahan besar-besaran dan kekurangan keperluan yang teruk.
Lebih enam bulan selepas perang Israel, kawasan Gaza yang luas musnah, mendorong 85 peratus penduduk di wilayah itu ke perpindahan dalaman di tengah-tengah sekatan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang melumpuhkan, menurut PBB.
Nnn
