Melonjak melebihi 3,000

PUTRAJAYA 28 April – Kes jangkitan baharu Covid-19 melonjak melebihi angka 3,000 hari ini apabila merekodkan 3,142 kes, berbanding 2,733 semalam menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 401,593 kes.

Kali terakhir negara mencatatkan angka melebihi 3,000 adalah pada 25 Februari lalu sebelum kes jangkitan harian menurun.

Ketua Pengarah Kesihatan  Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah keseluruhan kes, 3,129 adalah kes tempatan manakala 13 import.

Sebanyak lima kes (0.2 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan pusat tahanan yang membabitkan Kluster Pagar Sri Lalang (3 kes) dan Kluster Tembok Pengkalan Chepa (2 kes).

Kes sembuh pula 1,822 menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh 373,397 manakala jumlah kematian meningkat kepada 1,477 termasuk 15 kes yang dilaporkan hari ini.

Kematian hari ini melibatkan enam kes di Sarawak, dua kes di Kelantan, serta masing-masing satu kes di Johor, Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, dan Pahang. Kesemua kes kematian melibatkan warganegara

Sebanyak 306 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 151 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Related posts

Leave a Comment