Subramaniam meninggal dunia

PUTRAJAYA  5 Julai – Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Timbalan Presiden MIC, Tan Sri S Subramaniam, 78, yang meninggal dunia di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor, malam ini.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook berkata mendiang, yang juga bekas Ahli Parlimen Damansara dan Ahli Parlimen Segamat, banyak menabur bakti kepada Keluarga Malaysia.

“Mendiang juga banyak berjasa kepada negara semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri di tiga kementerian iaitu Kementerian Pertanian, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Takziah diucapkan kepada ahli keluarga mendiang dan saya berharap semoga mereka tabah atas kehilangan orang yang tersayang,” katanya.

Sementara itu anak mendiang, Sunther memaklumkan, bapanya meninggal dunia kira-kira pukul 8 malam.

“Ayah saya meninggal dunia dengan tenang ketika tidur,” katanya yang turut memaklumkan bapanya terlantar hampir 11 tahun selepas diserang angin ahmar.

Acara pengebumian mendiang akan diadakan di rumah keluarganya di Seksyen 16, Petaling Jaya, Selangor, pada Khamis ini.

Mendiang sebelum ini pernah berkhidmat selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen Damansara dari 1974 hingga 1982 dan Ahli Parlimen Segamat selama empat penggal dengan penggal terakhirnya adalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

Pada pemilihan MIC 2006, beliau tewas dan tempatnya sebagai Timbalan Presiden MIC digantikan oleh G Palanivel.

Related posts

Leave a Comment