Air : Punca pencemaran terabai

ISU pencemaran air sungai bukanlah sesuatu yang baharu. Selak Utusan Malaysia pada 10 Oktober 2016 pernah menulis isu ini di bawah tajuk “Air: Ujian atau pembalasan angkara perbuatan manusia”.  Punca pencemaran sama. Berikut sedutan tulisan itu. Teks penuh boleh cari @ rujuk ARCHIVES (10.10.2016). Baca juga tulisan berkaitan  Perkasa penguatkuasaan bukan menuding jari ( 27.07.2019)

“Amat malang jika punca pencemaran itu disebabkan kehadiran premis haram sama ada kilang atau pe­nempatan. Bagaimana hal ini boleh berlaku? Bagaimana premis itu boleh mendapatkan bekalan elektrik dan air? Jika sumbernya disebabkan pemasangan haram, adakah pihak berkenaan tidak menyedari atau mengesyaki sesuatu yang tidak kena?

Adakah kerana kedudukan ki­lang itu di tepi sungai atau tersembunyi menyebabkan pihak berkuasa lambat bertindak? Adakah pihak berkenaan hanya cepat bertindak terhadap gerai haram yang muncul pada waktu pagi, petang atau malam, sekadar peniaga mahu mencari­ rezeki tambahan yang halal­ walaupun tanpa permit berniaga?

Bagi umat Islam, al-Quran dan hadis sering memperingatkan tentang memelihara dan menjaga alam sekitar. Bumi ini bukanlah hak milik kita yang boleh diperlakukan sesuka hati. Bumi ini milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk berkongsi dengan makhluk lain. Manusia akan menumpang bumi ini selagi ia tidak musnah. Justeru, manusia mesti bertanggungjawab menjaga alam ini. Ingatlah akan azab Allah SWT sekiranya kita mengingkari perintah-Nya.

Pencemaran adalah ciptaan manusia yang tidak mahu menghargai alam. Sungai dijadikan ‘tong sampah’ – tempat membuang pelbagai kekotoran sama ada industri, sisa makanan, sampah sarap dan pelbagai lagi. Orang kita perlu dididik walaupun sekadar untuk membuang pembalut gula-gula atau kotak rokok di dalam tong sampah. Inilah sikap manusia yang akhirnya membawa kesengsaraan. Sekarang kita terima azabnya. Terputus bekalan air, tidak boleh membasuh, kurangkan mandi, mengangkut air dari lori tangki, dan sebagainya. Ada juga yang terpaksa beristinjak. Bukankah itu juga satu azab? Tanpa air semua­nya menjadi ‘kotor’.

Related posts

Leave a Comment