Langkah bersepadu tangani pencemaran plastik

PUTRAJAYA 22 April –  Usaha menangani isu pencemaran plastik memerlukan langkah  bersepadu yang melibatkan kerajaan, perniagaan, komuniti dan individu.

Menurut Jabatan Perikanan (DOF), semua pihak perlu mengurangkan pencemaran dan penggunaan plastik, meningkatkan kecekapan sistem pengurusan sisa selain menggalakkan penggunaan bahan alternatif bagi menangani isu itu.

Dalam kenyataannya, DOF memaklumkan kajian menunjukkan jenis plastik yang kerap ditemui dalam persekitaran akuatik tempatan dan global ialah rayon, polietilena dan polipropilena.

“Jenis plastik ini digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian terutama dalam industri pakaian, pembungkusan makanan dan lain-lain industri,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan itu sempena Hari Bumi Sedunia hari ini.

Dapatan itu hasil kajian pencemaran mikroplastik dan makroplastik sejak 2019 di persekitaran akuatik Semenanjung Malaysia khususnya bahagian barat laut dan pantai timur, Labuan serta dalam tisu ikan komersial dan kerang-kerangan.

Menurut DOF bahan kimia digunakan dalam penghasilan plastik seperti bispenol A (BPA) dan phthalate boleh dirembes dan berakumulasi dalam persekitaran dan sumber makanan justeru menimbulkan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang bahan itu terhadap kesihatan sejagat.

Hubung kait antara bahan kimia ini dengan masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon serta masalah reproduksi telah banyak dilaporkan,” menurut kenyataan itu.

DOF memaklumkan pendedahan berterusan mikroplastik pada kepekatan yang tinggi kepada ikan akan mengakibatkan pelbagai impak negatif seperti tekanan oksidatif, keradangan, imunotoksik, genotoksik, kerosakan DNA serta mengubah mikrobiota usus yang memberi kesan kepada pertumbuhan dan kualiti ikan.

“Selain itu, kepadatan mikroplastik yang tinggi di pantai penetasan penyu akan meningkatkan suhu pasir pantai sekali gus mengancam perkembangan penetasan penyu,” kata kenyataan itu.

Sempena Hari Bumi, DOF juga telah melaksanakan pelepasan 100 induk ikan kelisa emas di Tasik Bukit Merah, Perak kelmarin sebagai usaha memulihara serta menjamin kelestarian sumber khazanah bumi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment