Kosmetik “ZMY Magnetic Aura Night Cream” mengandungi merkuri

PPUTRAJAYA 22 April –  Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang awam mengelak daripada membeli dan menggunakan kosmetik “ZMY Magnetic Aura Night Cream” yang dikesan mengandungi racun berjadual, dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara Kementerian Kesihatan (KKM) Rosilawati Ahmad dalam kenyataan hari ini berkata KKM telah membatalkan notifikasi produk kosmetik berkenaan yang dikesan mengandungi merkuri.

Katanya, merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana bahan itu boleh menyerap ke dalam badan sehingga menyebabkan kerosakan pada buah pinggang, sistem saraf serta mengganggu perkembangan otak kanak-kanak atau janin, selain menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan pada kulit.

“Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik terbabit dengan serta-merta.

Penjualan dan pengedaran produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mana-mana individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama, dan denda RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan berikutnya.

Rosilawati berkata syarikat pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

Related posts

Leave a Comment