PRK: BN ‘uruskan’ pendirian MCA, MIC

REMBAU 20 April – Barisan Nasional (BN) akan ‘menguruskan’ pendirian MCA dan MIC yang enggan berkempen membantu calon Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata kerusi DUN Kuala Kubu Bharu adalah milik Pakatan Harapan (PH) dan tidak sepatutnya timbul ada pihak dalam Kerajaan Perpaduan yang enggan membantu kempen PRK berkenaan.

Katanya, sebelum ini, semasa PRK Parlimen Pulai, dan DUN Simpang Jeram di Johor, UMNO membantu calon Amanah yang bertanding.

“Apabila PRK Pelangai yang ditandingi BN (UMNO), semua parti dalam Kerajaan Perpaduan juga membantu bersama.

“Kini timbul giliran DAP yang mana dia adalah pemegang jawatan, selalunya berdasarkan persefahaman bila berlaku kematian, parti itulah yang kita bagi keutamaan (meletakkan calon),” katanya.

Timbalan Presiden UMNO itu berkata, BN menghormati persetujuan supaya parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan diberi keutamaan untuk meletakkan calon pada PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.

“Ini bukan Pilihan Raya Umum yang kita boleh tukar-tukar kerusi, tapi bila ada kematian kita bagi peluang kepada parti pemegang jawatan untuk meletakkan calon,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Tanjong Rantau, di sini, hari ini.

Mohamad mengulas kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang menetapkan parti komponen BN itu tidak akan berkempen di PRK DUN Kuala Kubu Bharu sekiranya calon dipertandingkan bukan daripada BN.

Keputusan itu dibuat susulan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang berlangsung di ibu pejabat parti itu semalam.

Sebelum ini, MIC juga dikatakan tidak akan turun berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Mohamad yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau berkata, prinsip yang diamalkan sebelum ini adalah saling membantu.

“Orang dah bantu kita, kini kita pula membantu, ini semua untuk pastikan supaya urusan menghadapi PRK ini dapat diuruskan dengan baik,” katanya.

Mohamad berkata, BN bukan bergabung dengan PH tapi sekadar membantu rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan calon PRK itu nanti adalah wakil Kerajaan Perpaduan yang telah dipersetujukan.

“Jadi, calon itu nanti adalah calon Kerajaan Perpaduan, kita akan berkempen mengikut apa yang telah kita lakukan pada PRK lain sebelum ini. Untuk ketika ini ia adalah persefahaman yang telah kita persetujukan bagi menghadapi PRK.

“Keadaan ketika ini berbeza (dengan) apabila menghadapi PRU ke-16 akan datang, namun perkara itu belum dirundingkan lagi sama ada kita (BN) akan bersama atau berseorangan, itu terpulang pada ketika itu (kempen PRU16),” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili PH pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Related posts

Leave a Comment