PENAMPANG – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) semalam bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
Kolaborasi politik yang dikenali sebagai Bersatu-Solidariti (BEST) itu ditandatangani oleh Presiden STAR Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden yang memangku jawatan Presiden PBS, Dr. Joachim Gunsalam serta Setiausaha Agung Edward Linggu (STAR) dan Julita Majungki (PBS).
Hadir sama menyaksikan majlis MoU yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan itu ialah Penasihat Perdana PBS, Pairin Kitingan yang juga pengasas PBS.
BEST berteraskan kepada lima aspek utama iaitu Mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama politik; Bekerjasama dan berkolaborasi dalam menyelesaikan isu-isu utama Sabah; Penubuhan Majlis Pimpinan Bersama (JLC) antara PBS dan STARSABAH; Perkongsian Maklumat dan Latihan Kepimpinan dan Penubuhan Jawatankuasa Strategik.
Pada sidang media selepas itu, Dr Jeffrey berkata, MoU ini adalah satu persefahaman untuk bekerjasama selepas menyedari kedua-dua parti mempunyai aspirasi yang sama.
“Tujuan kita adalah sama, perjuangan kita sama, dengan kesedaran itu juga kita sedar untuk capai aspirasi rakyat dan objektif, kita kena kerjasama, bersatu dan bersolidariti.
“Sebab kita telah belajar dari sejarah bila kita bertelingkah antara satu sama lain, bukan kita saja yang rugi, parti rugi, pemimpin rugi dan rakyat juga rugi akibat ketidaksefahaman atau pertelingkahan antara kita.
“Jadi dengan kesedaran ini, belajar dari kesilapan kita, dan timbullah kerjasama dan MoU ini untuk memastikan kita tidak ulangi kesilapan kita,” katanya.
Dr. Jeffrey berkata, susulan daripada MoU itu, BEST sedang mengkaji kerusi-kerusi baharu yang akan ditandingi pada pilihan raya akan datang. Ketika ini PBS mempunyai tujuh kerusi, manakala STARSABAH, enam kerusi.
Sementara itu, Dr Joachim berkata, secara asasnya MoU itu adalah untuk mengukuhkan kolaborasi politik antara kedua-dua parti serta kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) secara keseluruhannya.
“Selain itu, kita mahu selesaikan isu utama dan berkepentingan yang memberi kesan kepada rakyat Sabah dan kita juga mahu berkongsi maklumat.
“Ini cuma permulaan, tetapi selepas penubuhan Majlis Kepimpinan Bersama, kita boleh laksanakan lebih banyak perkara. Tetapi sudah tentu kita menghala kepada PRN atau pilihan raya umum (PRU),” katanya.
